KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akui tidak mungkin untuk beliau dan Kerajaan Madani mengelak daripada kritikan tajam yang adakalanya keras yang menggunakan sentimen konon semua kaum, agama tertekan.
Namun katanya apabila ditanya apa fakta dan alasannya untuk menyatakan bahawa Islam terpinggir di negara kita, tiada jawapan diberi menjawab perkara itu.
“Tidak mungkin mengelak daripada kritikan tajam, kadang keras… kadang gunakan sentimen semua kaum tertekan, semua agama tertekan tapi bila tanya apa faktanya apa alasannya untuk menyatakan bahawa Islam terpinggir di negara kita?
“Semua tahu bahawa Islam itu agama Persekutuan dan kita boleh angkat rasul.
“Semua tahu bahawa negara ini terikat dengan prinsip Perlembagaan tentang peranan bahasa dan budaya dan prinsip Bumiputera tetapi juga semua tahu bahawa tidak boleh digunakan itu untuk menyebabkan sebahagian rakyat kita, anak-anak bangsa kita merasakan terpinggir.
“Ini memerlukan kekuatan dalaman, kefahaman kerana tanpa kekuatan mudah kita terpesong hanyut dengan kenyataan-kenyataan itu,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan Perhimpunan Bulanan bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Amanat tahun 2026 pada Isnin.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia ini negara majoriti Melayu dan Islam juga pelbagai kaum dan pelbagai agama.
“Kemajmukan itu bukan suatu perkembangan baru.
“Jadi kita jangan terlalu tergugat dengan tekanan-tekanan. Kadang datangnya dari daerah kadang dari wilayah kadang dari kaum kadang daripada agama.
“Selagi kita berpaksikan kepada keyakinan dan jelas hala tuju, kenyataan-kenyataan itu akan terus berkembang.
“Kenyataan kepelbagaian, kemajmukan negara kita, jangan izinkan ia mengalih pandangan kita teras dan tonggak kekuatan kita dan hala tuju kita.
“Kita harus ada dan membuat pilihan mahu angkat negara ini sebagai negara hebat menyatukan semua rakyat pelbagai kaum.
“Justeru, Menenggelamkan, memadam sentimen yang boleh menghakis kekuatan kita. Itu pilihan kita, mahu pilih untuk jadi kuat atau memilih jadi remuk berkecai seperti mana berlaku di banyak negara lain. Saya yakin melihat kepada semangat yang ditunjukkan dan pimpinan Kabinet kita mampu melakukan,” ujar Anwar.



