KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut bekas pemimpin untuk memulangkan separuh harta kepada rakyat termasuk harta di dalam dan luar negara.
Tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selepas menyerahkan semula separuh harta itu barulah bekas pemimpin itu layak bicara soal Melayu, Islam dan rakyat.
“Bila kena ambil langkah tegas — semasa kita berkuasa. Laksanakan, bersihkan negara Ini daripada kebejatan dan budaya busuk rasuah yang masih menular seluruh jentera.
“Dulu kita fikirkan orang politik sekarang penjawat awam, pegawai tentera, polis tanpa kecuali sebab itu kita berikan dukungan yang kukuh kepada semua badan penguatkuasaan. Ya kita mampu lakukan itu semua.
“Bila sudah bersara tidak ada kerja maka berleterlah kita setiap hari, bila ditanya apa yang kamu buat? Untuk martabatkan kedudukan orang Melayu, Bumiputera atau membersihkan jentera pemerintah semasa kamu berkuasa?
“Sebab itu saya sering mengingatkan kita bersama, saya dan rakan-rakan lakukanlah sedaya upaya pembaharuan semasa kita berkuasa, bukan berleter merengek setelah hilang kuasa.
“Berhasil kekayaan melimpah ranah sebab itu diantara hal yang saya selalu tekankan kalau benar orang-orang besar dulu yang kaya raya ini betul-betul prihatin dengan nasib bangsa serahkan setengah harta kepada rakyat.
“Setengah harta dalam negara dan luar negara, melalui proksi dan melalui nominee, serahkan balik. Kemudian bicara soal rakyat. Bicara soal Melayu atau Islam,” selar Perdana Menteri.
Menurut beliau setakat ini belum ada yang menyerahkan.
“Oleh kerana tidak ada yang menyerah maka SPRM dan badan badan penguat kuasa harus menyerang supaya membersihkan,” kata Anwar.



