KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan atau pendirian atas nama Perikatan Nasional (PN) juga bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral.
Justeru, Pemuda Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataan bersama menegaskan, keputusan PN wajib melalui konsensus semua parti komponen.
“Merujuk kepada perihal peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, kami berpandangan dengan tegas bahawa semua keputusan atas nama Perikatan Nasional mestilah dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional. Ini selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan Perikatan Nasional.
“Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian Perikatan Nasional harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen.
“Pemuda Perikatan Nasional menggesa kepimpinan di semua peringkat untuk mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia,” tegas mereka.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham; Ketua Pemuda Gerakan Lee Boon Shian dan Ketua Pemuda MIPP Justin Prabakaran.



