Pemimpin Bersatu lain akan dianggap terhenti keahlian atau dipecat sekiranya ambil alih jawatan Pengerusi PN – Pemimpin Kanan Bersatu

KUALA LUMPUR, — Sekiranya terdapat mana-mana pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerima pelantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), keahlian mereka dalam parti itu akan dianggap terhenti secara automatik dan sekali gus berisiko kehilangan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang disandang.

“Jika pun mungkin tidak hilang jawatan wakil rakyat, mereka akan dipecat dari parti melalui Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” kata pemimpin berkenaan. 

 

Menurut seorang pemimpin kanan Bersatu yang dihubungi SuaraTV, peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026 bukan bertujuan membuka ruang kepada tokoh lain daripada Bersatu mengambil alih jawatan tersebut, sebaliknya bagi memberi laluan kepada presiden parti komponen lain dalam gabungan itu.

Sumber berkenaan menjelaskan, langkah tersebut selaras dengan prinsip asal penubuhan PN yang menetapkan jawatan Pengerusi perlu dipegang oleh pemimpin yang dipersetujui bersama oleh semua parti komponen, dan bukan berdasarkan hierarki atau dominasi satu parti tertentu.

“Dalam struktur PN, jawatan Pengerusi bukan jawatan parti Bersatu. Jika ada pemimpin Bersatu menerima pelantikan itu, ia dianggap melanggar garis pemisah antara parti dan gabungan, dan implikasinya keahlian parti boleh terhenti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pemimpin PAS secara terbuka dilaporkan menyatakan hasrat agar parti itu mengambil alih kepimpinan PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin. Pendirian tersebut dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PAS mahu memainkan peranan lebih dominan dalam menentukan hala tuju gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Bagaimanapun, sumber Bersatu menegaskan bahawa pelantikan Pengerusi baharu PN hanya boleh dibuat melalui konsensus semua parti komponen, termasuk Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti India Malaysia (MIPP), selaras dengan perlembagaan dan semangat permuafakatan gabungan itu.

Dalam PAS sendiri, turut timbul spekulasi wujudnya perbezaan pandangan antara fraksi dalaman. Satu kumpulan yang dikaitkan dengan Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS, dikatakan cenderung mencadangkan Hamzah Zainuddin sebagai calon Pengerusi PN bagi mengekalkan keseimbangan antara parti terbesar dalam gabungan itu.

Sementara itu, spekulasi lain menyebut dua parti komponen PN, iaitu Gerakan dan MIPP, dikatakan lebih selesa melihat Azmin Ali sebagai Pengerusi PN, atas alasan pengalaman beliau dalam pentadbiran dan perundingan antara parti.

Walaupun pelbagai nama mula disebut, sumber Bersatu menegaskan sebarang keputusan muktamad hanya akan ditentukan melalui mesyuarat kepimpinan tertinggi PN dan dipersetujui secara bersama oleh semua parti komponen, bagi mengelakkan perpecahan dalaman yang boleh menjejaskan kestabilan gabungan itu. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat