MPI sambut baik dana Inovasi Media

CYBERJAYA, – Malaysian Press Institute (MPI) menyambut baik pengumuman Kementerian Komunikasi berhubung pembukaan Dana Inovasi Media berjumlah RM 30 juta bagi Fasa Pertama bermula 1 Januari hingga 14 Januari 2026, yang disifatkan sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya dalam mempercepat transformasi industri media tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail berkata inisiatif berkenaan adalah komitmen serius kerajaan dalam memastikan ekosistem media negara kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan, selari dengan cabaran era digital serta kemajuan teknologi yang pesat khususnya kecerdasan buatan (AI).

“MPI melihat Dana Inovasi Media ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi satu pemangkin kepada inovasi dan peralihan media ke arah model kewartawanan yang lebih kreatif, berimpak dan berorientasikan teknologi. Ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan
pembangunan insan, kemampanan dan daya saing nasional”, katanya.

Menurut Dr. Ainol, penekanan dana terhadap latihan pekerja media, adaptasi teknologi, perisian, peralatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kandungan adalah selari dengan keperluan sebenar industri ketika ini, khususnya dalam mendepani perubahan landskap media, tingkah laku
khalayak dan keperluan kandungan digital.

“MPI berpandangan bahawa aspek pembangunan kompetensi wartawan dan pengamal media melalui latihan berstruktur adalah kunci utama kejayaan transformasi industri. Media masa kini bukan sahaja perlu pantas tetapi juga berfakta, beretika dan mampu memanfaatkan teknologi baharu seperti automasi, analitik data serta platform digital secara bertanggungjawab,” jelas beliau.

Beliau turut menyifatkan syarat kelayakan yang ditetapkan termasuk pendaftaran dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta pemilikan Kad Perakuan Media aktif sebagai langkah penting bagi memastikan
penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan memberi manfaat kepada organisasi media yang benar-benar komited terhadap profesionalisme.

MPI, tambahnya bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan pihak berkepentingan lain dalam menyokong pelaksanaan Dana Inovasi Media, khususnya melalui peranan MPI sebagai institusi latihan profesional dalam memperkukuh kapasiti, kemahiran dan kesiapsiagaan pengamal media menghadapi masa depan industri.

“Usaha ini wajar dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara terhadap industri media yang berperanan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat, membentuk wacana awam serta menyokong pembangunan negara dalam ekosistem digital yang semakin kompleks,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat