Zahid penuhi wasiat Bung, Naim dipilih calon BN untuk Parlimen Kinabatangan

KINABATANGAN — Barisan Nasional (BN) mengumumkan Mohd Naim Kurniawan, anak kepada arwah Bung Moktar Radin, sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang dijadual berlangsung pada 24 Januari depan.

Pengumuman itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Naim, yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO, menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya selepas menerima amanah daripada kepimpinan tertinggi parti.

“Terima kasih kepada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, atas kepercayaan dan amanah sebagai calon BN PRK Parlimen Kinabatangan. Ini bukan sekadar mandat parti, tetapi turut membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan,” tulisnya pada malam Jumaat.

Pelantikan Mohd Naim dilihat sebagai memenuhi hasrat dan wasiat politik Allahyarham Bung Moktar, yang sebelum ini pernah mencadangkan agar anaknya diberi peluang bertanding di kerusi berkenaan.

Perkara itu pernah didedahkan Ahmad Zahid yang memaklumkan BN sedang mempertimbangkan Naim Kurniawan sebagai calon, selain menyatakan penerimaan pengundi Kinabatangan terhadapnya adalah baik.

Ketika itu, Ahmad Zahid berkata meskipun cadangan tersebut belum dibawa ke Mesyuarat Induk UMNO dan Dewan Tertinggi BN, beliau perlu mengadakan perbincangan lanjut bersama kepimpinan parti serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor susulan kenyataan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan tidak akan bertanding pada PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong susulan pemergian Bung Moktar pada 5 Disember lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.

Allahyarham Bung Moktar sebelum itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November lalu.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat