KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkongsi sisi yang mungkin ramai tidak tahu bahawa Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sentiasa bertasbih ketika sesi Sidang Dewan Rakyat berlangsung.
Menurut Shahar beliau mengetahui sisi baik Bung Moktar itu kerana tempat duduk mereka bersebelahan di dalam Dewan Rakyat.
“Hari ini, seorang sahabat yang duduk di sisi saya dalam dewan berpulang pergi, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar.
“Hari ini, beliau kembali kepada Pencipta pada hari Jumaat yang mulia.. hari yang dipilih, hari yang dijanjikan sebagai perlindungan dari azab kubur bagi insan yang Allah muliakan perjalanannya.
“Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergengam tasbih bila berada di dalam dewan.
“Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai. Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan,” ujar Shahar dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.
Dalam hantaran berkenaan juga Shahar memaparkan video ini Bung Moktar sedang membetulkan pin di bajunya.
“Satu detik kecil, tetapi penuh makna. Begitulah beliau, membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
“Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang.
“Zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang.
“Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang, Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang.
Al-Fatihah. Damailah sahabatku di sana,” ucap Shahar.



