KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin telah banyak menabur jasa kepada negeri Sabah dan negara melalui pelbagai cadangan dan saranan semasa bergelar Ahli Parlimen.
Menurut Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, semua jasa yang telah disumbangkan Bung Moktar akan tetap dikenang oleh seluruh lapisan rakyat di Sabah.
“Saya, berserta isteri, Toh Puan Faridah dan keluarga menzahirkan ucapan takziah kepada isteri serta keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Kami berdoa ke hadrat Allah SWT semoga roh Allahyarham Datuk Seri Bung ditempatkan dalam kalangan orang orang yang beriman dan beramal soleh.
“Semasa hayatnya, Allahyarham telah memberikan sumbangan yang besar kepada negeri Sabah atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
“Allahyarham Bung Moktar merupakan antara Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat. Sudah tentu dalam jangka masa yang panjang itu, beliau telah menaburkan banyak jasa kepada negeri dan negara melalui pelbagai cadangan dan saranan semasa bergelar Ahli Parlimen. Semua jasa yang telah disumbangkan akan tetap dikenang oleh seluruh lapisan rakyat di Sabah.
Musa juga sempat menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu lewat malam tadi.
“Ketibaan saya di Hospital itu kira kira jam 11.40 malam, disambut oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alamsekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin,” ujarnya dalam ucapan takziah.



