KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi N29 Pantai Manis, Faizal Julaili, menegaskan komitmennya untuk terus berjuang hingga ke akhir kempen serta memilih pendekatan kepimpinan berasaskan kebersamaan dengan rakyat.
Perkara itu dinyatakan beliau ketika tampil sebagai tetamu dalam podcast Suara TV yang dibawakan khas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Bila sudah masuk gelanggang, kita lawan sampai habis. Saya mahu memimpin bersama rakyat, bukan dari atas,” katanya.
Menurut Faizal, pendekatan itu penting bagi memastikan pemimpin tidak terpisah daripada realiti sebenar rakyat di kawasan Pantai Manis.
Beliau turut menekankan bahawa kaedah mendekati pengundi, khususnya golongan muda, tidak boleh lagi bersandarkan ceramah semata-mata.
Sebaliknya, Faizal berkata aktiviti berbentuk sukan, pertandingan dan program belia lebih berkesan bagi menarik minat anak muda untuk mendekati politik secara lebih terbuka dan santai.
Selain itu, beliau menggunakan pendekatan ziarah rumah ke rumah bagi menyantuni rakyat di peringkat akar umbi dan mendengar sendiri isu yang dihadapi penduduk di kawasan tersebut.
Mengulas tentang persaingan tujuh penjuru di N29 Pantai Manis, Faizal berkata beliau melihatnya sebagai medan demokrasi yang sihat dan tidak gentar berdepan mana-mana calon.
Faizal turut menyeru pengundi agar memberi peluang kepadanya untuk membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri serta membuktikan bahawa politik tidak semestinya bersifat elitis, sebaliknya berpaksikan kebersamaan dengan masyarakat setempat.



