PN pertaruh calon muda dan profesional untuk bantu Sabah ‘break the cycle’ – Tun Faisal

KOTA KINABALU, — Perikatan Nasional (PN) meletakkan barisan calon muda serta profesional sebagai taruhan utama untuk membantu Sabah “break the cycle” politik lama yang didakwa gagal membawa perubahan bermakna kepada rakyat sejak sekian lama.

Ketua Penerangan Bersatu, Dato’ Tun Faisal Ismail Aziz, berkata generasi baharu ini terdiri daripada peguam, jurutera, doktor, ahli korporat dan golongan profesional lain membawa pendekatan segar serta bebas daripada beban politik masa lalu.

Menurutnya, ini adalah antara strategi paling penting PN untuk menembusi undi protes yang semakin meningkat terhadap prestasi kerajaan negeri dan kekecewaan rakyat Sabah terhadap isu asas seperti air, elektrik, jalan raya dan peluang pekerjaan.

“Selama bertahun-tahun Sabah diperintah oleh muka-muka lama. Kitaran itu tak berubah, masalah pun tetap sama. PN mahu memecahkan kitaran itu dengan calon bersih, profesional, dan tidak terikat dengan bagasi politik,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas.

Beliau turut menegaskan komitmen PN terhadap tuntutan lama Sabah pemulangan 40 peratus hasil negeri yang menurutnya menjadi asas kepada kemampuan Sabah untuk membangun setara dengan negeri jiran, Sarawak.

“Kita tak berdolak-dalik. Kita konsisten 40% itu hak Sabah dan mesti dipulangkan. Kalau hasil tak cukup, pembangunan pun tak boleh dipacu. Itu realiti,” katanya.

Tun Faisal mengakui PN berdepan keadaan lebih mencabar berbanding PRN 2020 kerana masuk gelanggang sebagai pembangkang, namun beliau melihat gelombang sokongan anak muda semakin jelas, terutama di kawasan bandar dan separa bandar.

“Calon-calon muda kita ada latar belakang profesional yang kukuh. Mereka lebih dekat dengan pengundi muda yang kini hampir 50% di Sabah,” ujarnya.

PN menyasarkan sekitar 15 kerusi dalam PRN kali ini, namun Tun Faisal menyifatkan angka tersebut masih bergantung kepada kekuatan individu calon dan sentimen semasa di lapangan.

PRN Sabah menyaksikan hampir 600 calon bertanding di 73 kerusi, dengan beberapa DUN mencatat sehingga 13 penjuru situasi yang digambarkan penganalisis sebagai pilihan raya paling kompleks dalam sejarah politik Sabah.

Tun Faisal menutup wawancara itu dengan menyeru pengundi memberi peluang kepada kepimpinan baharu PN.

“Kalau mahu Sabah benar-benar berubah, kita mesti ‘break the cycle’. Kita perlukan wajah baharu yang tidak terikat dengan kegagalan masa lalu,” tegasnya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat