Oleh Zihan Zari
TANJUNG DAWAI – Jabatan Standard Malaysia (JSM) mengambil pendekatan turun padang, menyantuni komuniti Kampung Sungai Pial menerusi Program Kampung Angkat Madani dengan mengenal pasti dan melaksanakan projek naik taraf infrastruktur kritikal yang menjadi nadi kehidupan komuniti.
JSM menterjemahkan aspirasi Ekonomi Madani secara langsung di peringkat akar umbi dengan peluncuran rasmi program Kampung Angkat Madani oleh Ketua Pengarahnya, See Chee Kong di Kampung Sungai Pial, dekat sini baru-baru ini.
Beliau berkata Kampung Sungai Pial dipilih sebagai kampung angkat JSM berdasarkan sejarah, keunikan komuniti, dan kesediaan penduduk untuk bersama-sama menjayakan inisiatif pembangunan masyarakat.
“Sebanyak tujuh projek fizikal dan tiga program kemasyarakatan telah dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta.
“Antara projek utama, menaik taraf telah direalisasikan bagi memberi manfaat terus kepada penduduk, termasuk membaikpulih masjid, dewan orang ramai, tabika, sekolah, jalan-jalan ladang dan kampung serta kawasan kolam ikan air tawar.
“Ini adalah ‘pembuka jalan’ untuk membina kepercayaan dan memastikan komuniti berada dalam keadaan sejahtera dan kondusif untuk menerima bimbingan teknikal, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Singkir turut menerima manfaat melalui Projek Sekolah Angkat Madani (SAM) bernilai RM100 ribu yang melibatkan projek menaik taraf prasarana sekolah di bawah program ini.
Ujarnya, Program Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Pial ini adalah manifestasi jelas komitmen JSM dalam menterjemahkan aspirasi Ekonomi Madani terus ke peringkat akar umbi.
Sempena program itu, pelbagai aktiviti turut disajikan seperti Kenduri Rakyat, Sesi Mewarna Kanak-Kanak, penyampaian sumbangan kepada asnaf, Program Jualan Rahmah Madani, jualan Agro Madani, pemeriksaaan kesihatan serta pameran dan perkhidmatan daripada jabatan, agensi rakan strategik JSM.
Turut hadir, Pengarah Kanan Khidmat Pengurusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), Nor Kamisah Che Daud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Pial, Mejar (B) Md Sabri Adnan; dan Pegawai KEMAS Daerah Kuala Muda, Jefry Ismail. -SUARA.TV



