Air bertukar jadi biru, Malaysia gantung pelombongan nadir bumi di Perak

KUALA LUMPUR, – Kerajaan semalam menggantung serta-merta operasi sebuah tapak nadir bumi dan dua lombong bijih timah di Perak selepas sebahagian Sungai Perak dikesan bertukar warna biru terang, mencetuskan kebimbangan pencemaran bahan kimia dan risiko radiasi.

Menurut laporan CNBC.com, siasatan awal mendapati pelepasan dari tapak nadir bumi yang dikendalikan MCRE Resources Sdn Bhd sepadan dengan warna air yang dikesan di sungai tersebut. Bacaan radiasi di tapak itu didapati mencecah 13 becquerel, jauh melepasi had satu becquerel yang dibenarkan dalam penilaian impak alam sekitar projek berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, memberitahu Parlimen bahawa siasatan kini menumpukan kepada jenis bahan kimia yang digunakan dalam proses perlombongan serta sama ada ia selaras dengan maklumat rasmi yang dilaporkan kepada kerajaan. MCRE, yang menggunakan teknologi in-situ leaching dengan perkongsian firma nadir bumi China, masih belum memberi sebarang maklum balas.

Kerajaan turut mengeluarkan arahan penggantungan kepada dua syarikat perlombongan bijih timah di kawasan berkenaan selepas pemeriksaan mendapati kegagalan mematuhi peraturan pelepasan efluen, kawalan hakisan, sedimentasi dan pengurusan bahan kimia. Penggantungan ini dibuat susulan aduan pencemaran di beberapa sungai utama di Perak.

Insiden Sungai Perak yang bertukar warna biru ini mengundang perhatian nasional kerana berlaku hanya sehari selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, memberi amaran keras di Dewan Rakyat bahawa Malaysia kini terdedah kepada “penjajahan ekonomi baharu” dalam industri nadir bumi. Beliau sebelum ini mendedahkan bahawa negara menanggung risiko sisa radioaktif, pencemaran dan ketirisan kawal selia, sedangkan keuntungan dan teknologi dikawal syarikat asing.

Menurutnya, jika kerajaan tidak mengetatkan pengawasan, Malaysia akan terus menjadi lokasi pemprosesan dan perlombongan untuk negara besar seperti China dan Amerika Syarikat, tetapi rakyat tempatan terpaksa menanggung risiko kesihatan dan alam sekitar.

Kejadian di Perak ini dilihat mengukuhkan hujah tersebut, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai kemampuan kerajaan memastikan piawaian keselamatan dan alam sekitar dipatuhi sebelum sektor nadir bumi diperluaskan sebagai industri strategik nasional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat