KUALA LUMPUR — Kerajaan komited membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) negara secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia bukan sekadar memiliki sumber mineral itu, malah berupaya menguasai teknologi pemprosesan serta penghasilan produk hiliran bernilai tinggi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pembangunan industri berkenaan dilaksanakan selaras dengan Dasar Mineral Negara 3 (DMN3) yang memberi penekanan kepada pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral secara bertanggungjawab dan mampan.
“Kerajaan komited untuk membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) negara secara menyeluruh merangkumi aktiviti eksplorasi dan perlombongan di peringkat huluan, pemprosesan dan pemisahan di peringkat pertengahan serta penghasilan produk bernilai tambah tinggi di peringkat hiliran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya, di Dewan Rakyat, pada Isnin, berhubung perkembangan kerangka dasar industri REE termasuk potensi pembangunan industri hiliran.
Menurut Arthur, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melaksanakan makmal khusus yang melibatkan kementerian, kerajaan negeri, agensi, institusi pengajian tinggi serta pemain industri bagi memperincikan hala tuju dan menangani cabaran pembangunan industri berkenaan.
Makmal itu mengenal pasti beberapa keutamaan strategik termasuk meningkatkan kecekapan proses kelulusan, penguasaan teknologi, penyediaan pembiayaan dan insentif serta pembangunan kepakaran tempatan.
“Makmal ini telah mengenal pasti beberapa keutamaan strategik, antaranya peningkatan kecekapan proses kelulusan, penguasaan teknologi, penyediaan pembiayaan dan insentif, pembangunan kepakaran tempatan serta penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Dalam aspek pembangunan rantaian nilai, Arthur berkata kerajaan, pihak industri dan akademia ketika ini memberi keutamaan kepada pembangunan industri pertengahan, khususnya keupayaan pemprosesan dan pemisahan REE.
Keupayaan itu penting bagi menghubungkan aktiviti perlombongan dengan penghasilan produk hiliran bernilai tambah tinggi.
“Pemprosesan dan pemisahan REE menjadi penghubung penting antara aktiviti perlombongan dengan penghasilan produk hiliran,” katanya.
Antara perkembangan positif ialah kerjasama strategik antara Malaco Mining Sdn. Bhd. dan Carester SAS dari Perancis menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 4 Julai 2025 di Paris.
Kerjasama itu bertujuan membangunkan loji pemisahan REE di Perak dengan kapasiti pemprosesan kira-kira 13,000 metrik tan setahun, selain melibatkan pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran teknikal serta pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan.
Bagi meneroka potensi industri hiliran pula, kerajaan menggalakkan pelaburan strategik dalam penghasilan produk bernilai tambah tinggi termasuk magnet kekal berprestasi tinggi.
Dalam hubungan itu, kerjasama antara Lynas Rare Earths Ltd. dan JS Link Inc. dari Korea Selatan telah diperkukuh melalui perjanjian kerjasama jangka panjang bernilai RM1 bilion pada 7 Julai 2026.
Kerjasama berkenaan melibatkan pembangunan kilang pembuatan magnet kekal jenis Neodymium-Iron-Boron (NdFeB) di Kuantan, Pahang.
Projek itu dirancang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 3,000 tan metrik magnet kekal setahun dan berpotensi mewujudkan sehingga 700 peluang pekerjaan baharu.
Lynas turut membuat pelaburan ekuiti sebanyak AUD50 juta, bersamaan kira-kira RM144 juta, dalam JS Link selain komitmen membekalkan bahan REE bagi menyokong pengeluaran magnet kekal di Malaysia dan Korea Selatan.
“Kerjasama ini dijangka memperkukuh pembangunan rantaian nilai REE negara daripada aktiviti pemprosesan kepada pembuatan produk hiliran bernilai tambah tinggi,” katanya.
Pada masa sama, Arthur berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan dasar kawalan eksport bahan mentah REE bagi memastikan sumber strategik negara dimanfaatkan untuk pembangunan industri bernilai tambah dalam negara.
“Hala tuju kerajaan adalah untuk membangunkan sebuah negara yang bukan sekadar memiliki sumber REE, tetapi turut mempunyai keupayaan teknologi, kepakaran dan kapasiti industri bagi memproses serta menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi.
“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan kekayaan sumber mineral negara diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih besar, peluang pekerjaan berkualiti dan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh rakyat secara mampan,” katanya.


