KOTA KINABALU, — Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH), berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang berlangsung hari ini bagi membincangkan hala tuju parti dan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan UPKO sejak menyertai PH empat tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang, langkah itu turut menyokong keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, susulan ketidaksetujuan terhadap pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding semakan kehakiman hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan Sabah Law Society.
UPKO menjelaskan bahawa sepanjang berada dalam gabungan PH, parti itu konsisten membawa tuntutan Sabah termasuk pelaksanaan hak hasil 40 peratus, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta autonomi pentadbiran PH Sabah.
Bagaimanapun, terdapat jurang perbezaan yang ketara antara UPKO dan parti komponen PH di peringkat nasional mengenai isu-isu tersebut.
UPKO turut menegaskan bahawa isu kepengerusian PH Sabah yang diputuskan melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan PKR Sabah, sekali gus menjejaskan autonomi sebenar PH Sabah seperti yang diumumkan sebelum ini.
Kenyataan itu menyebut, keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya PH Sabah banyak diputuskan oleh PKR tanpa rundingan, walaupun UPKO pada awalnya dipilih sebagai peneraju gabungan di peringkat negeri.
UPKO menyimpulkan bahawa “hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang benar-benar memahami denyut nadi dan aspirasi rakyat negeri ini” berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak 40 peratus hasil negeri.
Parti itu turut menekankan pendirian bahawa hak 40 peratus adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui Senarai Persekutuan (Federal List).
Justeru, UPKO kini membuka ruang kerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah lain yang memperjuangkan agenda Sabah First, bagi memastikan pelaksanaan MA63 dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.
Walaupun meninggalkan PH, dua Ahli Parlimen UPKO – Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan terus menyokong kestabilan Kerajaan Persekutuan sehingga penggal ini berakhir, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan rasmi pengunduran diri itu akan dimaklumkan kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen gabungan berkenaan.



