Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Politeknik Ungku Omar (PUO) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khas Rakan Siswa YADIM (RSY) Terbaik sempena Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM 2025 di Hotel The Pearl Kuala Lumpur, dekat sini baru-baru ini.
Pengiktirafan ini diberikan sebagai menghargai kepimpinan dinamik dan kecemerlangan gerak kerja dakwah yang diterajui oleh Pengerusi RSY PUO Sesi 2024/2025, Nur Sumayyah Mohd Yusof, bersama pasukannya yang aktif menjalankan pelbagai inisiatif di peringkat kampus, nasional dan antarabangsa.
Antara pencapaian utama yang menjadi faktor pemilihan itu, termasuk kejayaan menganjurkan Misi Kemanusiaan Antarabangsa MADANI Kemboja 2025 (MADA’25), Multaqa MADANI PolyCC Peringkat Kebangsaan, serta inisiatif menggerakkan penubuhan semula RSY di 36 politeknik seluruh negara. RSY PUO turut mencatat keahlian tertinggi kebangsaan dengan hampir 800 ahli aktif.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan berkata generasi RSY perlu menjadi agen perubahan melalui ilmu, kesantunan dan kebijaksanaan agar mesej dakwah dapat diterima secara menyeluruh oleh masyarakat.
Beliau yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM 2025.
Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Pimpinan Tertinggi RSY Kebangsaan Sesi 2025/2026 turut diadakan menyaksikan pelantikan semula Nur Sumayyah sebagai antara pemimpin utama.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM Shahrizal Mat, serta para penasihat dan delegasi RSY dari seluruh negara.-SUARA.TV



