Ewon Benedick umum letak jawatan Menteri Persekutuan, UPKO dijangka keluar PH

 

KOTA KINABALU, — Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan dan memberi gambaran partinya akan meninggalkan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Sabah.

Dalam kenyataan bertulis hari ini, Ewon berkata keputusan itu diambil berikutan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society, berhubung pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah di bawah Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.Ewon merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sejak Disember 2022.

Beliau berkata, penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang diputuskan Hakim Celestina Stuel Galid jelas menunjukkan pandangan AGC “mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia” yang bersandarkan dokumen asas seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.

“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya.

Menurut Ewon, sebagai penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, pendirian AGC untuk merayu menjadikan kedudukannya dalam Kabinet tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan UPKO yang berasaskan pelaksanaan MA63 dan hak Sabah dalam Perlembagaan.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka. Saya tidak melihat akan ada nasihat baharu,” tegasnya.

Ewon turut memaklumkan beliau akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan peletakan jawatannya.

Beliau sebelum ini memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 berhubung hak hasil 40 peratus, sebelum menariknya semula pada September 2023.

“Saya kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut,” katanya.

Ewon juga mengumumkan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO akan dipanggil Isnin depan bagi membincangkan agenda ‘Sabah First’ sebagai halatuju baharu parti.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas ruang dalam Kabinet yang menurutnya digunakan untuk memperjuangkan hak-hak Sabah.

“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah tersebut dilaksanakan. Itu adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat