Oleh Zihan Zari
SUNGAI PETANI – Program Hari Perikanan 2025 (PHP 2025) mencerminkan iltizam Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untuk memperkukuh inovasi, memperluas jaringan kerjasama dan memastikan sektor perikanan kekal sebagai penyumbang penting kepada keterjaminan makanan negara, kata Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Hj. Adnan Hussain.
Adnan berkata PHP 2025 menjadi wadah strategik bagi memperkukuh penyertaan semua pihak berkepentingan dalam memajukan sektor perikanan negara ke arah pembangunan yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampan, sejajar dengan aspirasi Ekonomi Biru Nasional dan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Perikanan 2025 (PHP 2025) di Pantai Merdeka, dekat sini baru-baru ini.
Perasmian PHP 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Luqman Ahmad.
Turut hadir, Hj. Dzowahir Ab. Ghani, EXCO Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri Kedah.
Adnan berkata PHP 2025 bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan komuniti bagi memperkasa ekonomi perikanan yang berteraskan inovasi serta kelestarian sumber.
“Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif penyelidikan, pembangunan teknologi dan inovasi seperti SirehMAX®️ dan sistem Malaysia Fisheries Resource System (MyFiRSt), jabatan bertekad terus memacu transformasi sektor perikanan ke arah pengurusan sumber laut yang lebih mampan, moden dan berimpak tinggi,”katanya.
Dalam pada itu, penyerahan Sijil Malaysian Good Aquaculture Practice (myGAP) telah diberikan kepada lima pengusaha akuakultur dari Zon Utara, iaitu Century Pet Food Industry Sdn. Bhd., Global Goodway (M) Sdn. Bhd., Ocean Champion Sdn. Bhd., Arca Biru Sdn. Bhd. dan Farmgroup Corporation Sdn. Bhd.
Pengiktirafan ini menzahirkan komitmen pengusaha terhadap amalan akuakultur yang selamat, bertanggungjawab serta mematuhi piawaian keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar
Selain itu, pertukaran Nota Kerjasama antara DOF dan Universiti Utara Malaysia (UUM) turut diadakan sebagai pelanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada tahun 2022.
Perjanjian baharu ini, yang berkuat kuasa sehingga 2028, memperluas skop kerjasama dalam bidang perikanan tangkapan, akuakultur, kesihatan ikan, konservasi, kecerdasan buatan
(AI), Internet of Things (IoT), karbon biru dan ekonomi biru.
Program ini turut menyaksikan pelancaran produk inovasi SirehMAX®️, sebatian antimikrobial berasaskan ekstrak daun sireh (Piper betle) hasil penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) bersama universiti tempatan.
Inovasi ini telah dipatenkan dan terbukti berkesan sebagai rawatan alternatif mesra alam bagi penyakit bakteria dalam ikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik dalam industri akuakultur.
Turut dilancarkan, MyFiRSt iaitu sistem rujukan data nasional bersepadu yang membolehkan pengurusan dan perkongsian maklumat biodiversiti perikanan serta kawasan perlindungan marin (MPA) dilaksanakan secara lebih cekap dan telus bagi menyokong pembuatan keputusan berasaskan data.
Selain itu, penyerahan cek cura bantuan Sistem Penyampaian & Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKS) dan bantuan
agropelancongan turut diberikan kepada penerima dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sebagai manifestasi sokongan terhadap pembangunan komuniti perikanan.
Penganjuran PHP 2025 berlangsung selama tiga hari ini, diisi dengan pelbagai aktiviti seperti Fun Run & Fun Walk, sukan rakyat, pameran ginteraktif oleh lebih 20 agensi kerajaan, serta reruai jualan dan aktiviti komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.-SUARA.TV



