The Curve Jadi Tuan Rumah Perayaan Ikonik Korea dari 8 hingga 16 November
Bermula Dari 8 hingga 16 November 2025, rakyat Malaysia berpeluang merasai sendiri kehangatan budaya dan keunikan citarasa Korea melalui Korea Kimchi Festival 2025, yang akan berlangsung di K PLUS Food Market, The Curve, Mutiara Damansara.

Majlis Korea Kimchi Festival 2025 turut disertai oleh Mr. Chang Chung Ho, Pengarah aT Center Kuala Lumpur, bersama Datuk Matthew Lee, Pengerusi KMT Group of Companies, serta wakil dari Kementerian Pertanian, Food and Rural Affairs (MAFRA) Republik Korea, dan rakan-rakan strategik daripada sektor peruncitan tempatan.
Festival yang dianjurkan oleh Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT), dengan kerjasama KMT Food & Beverage Sdn. Bhd., ini merupakan acara tahunan yang bertujuan memperkukuh hubungan budaya serta memperkenalkan warisan gastronomi Korea kepada masyarakat Malaysia.
Acara selama sembilan hari ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur daripada bengkel membuat kimchi, demonstrasi langsung oleh pakar dari Korea, hingga ke pameran budaya dan persembahan interaktif. Ia juga menjadi platform bagi pengunjung untuk memahami sejarah panjang dan nilai tradisi di sebalik makanan kebangsaan Korea yang terkenal di seluruh dunia ini.

Salah satu tarikan utama festival tahun ini ialah kehadiran Madam Yoo Jung Im, First Certified Kimchi Master dari Korea, yang mengadakan demonstrasi eksklusif tentang cara pembuatan kimchi asli mengikut kaedah tradisional Korea. Para peserta akan dapat melihat sendiri seni di sebalik proses penapaian dan teknik penyediaan yang diwarisi turun-temurun.
Selain bengkel dan demonstrasi, festival ini turut menampilkan pameran pelbagai jenis kimchi premium dari Korea yang boleh dirasai dan dibeli pada harga promosi istimewa. Terdapat juga ruang interaktif untuk mempelajari sejarah kimchi serta mengenali keunikan setiap variasi kimchi mengikut wilayah di Korea.
Menurut pihak penganjur, tujuan utama festival ini bukan hanya untuk memperkenalkan makanan Korea, tetapi juga untuk mewujudkan jambatan budaya antara Korea dan Malaysia melalui makanan, interaksi, dan pengalaman bersama.

Menjelaskan lebih lanjut tentang penganjuran acara ini, Datuk Matthew Lee, Pengerusi KMT Group Companies, berkata bahawa Kimchi Festival merupakan simbol hubungan erat antara kedua-dua negara dan lambang bagaimana makanan boleh menjadi medium yang menyatukan masyarakat berbeza latar belakang.
“Kimchi adalah sebahagian daripada kehidupan orang Korea. Setiap tahun pada 22 November, kami meraikan Hari Kimchi di Korea, yang dipanggil Kimchi Day. Ia bukan sekadar sambutan makanan, tetapi juga masa untuk komuniti berkumpul dan berkongsi. Jadi kami membawa semangat itu ke Malaysia melalui festival ini,” ujar Datuk Matthew.
Beliau menjelaskan bahawa penganjuran festival di Malaysia, khususnya di The Curve, adalah sebahagian daripada usaha KMT Group untuk memperkenalkan bukan hanya makanan Korea, tetapi juga budaya dan gaya hidup Korea secara menyeluruh kepada masyarakat tempatan.
“Sejak kami membuka pasar raya khas Korea di bawah nama K PLUS, kami telah menganjurkan pelbagai aktiviti hampir setiap bulan. Kimchi Festival ini merupakan antara acara tahunan yang paling penting bagi kami kerana ia menggambarkan jiwa masyarakat Korea nilai kekeluargaan, kesabaran, dan penghargaan terhadap tradisi,” katanya lagi.
Menurut Datuk Matthew, KMT Group tidak sekadar menjual produk makanan Korea, tetapi mahu menghubungkan produk dengan manusia. Beliau percaya ramai rakyat Malaysia yang sudah mengenali makanan Korea melalui media dan drama, namun masih ingin belajar lebih banyak tentang cara penyediaan serta makna di sebalik setiap hidangan.

“Di K PLUS, kami bukan hanya menjual barang. Kami juga membuka ruang untuk sesiapa yang ingin belajar tentang makanan Korea, menyertai kelas membuat makanan, atau bahkan mempelajari bahasa Korea. Kami mahu mencipta ruang interaksi budaya antara rakyat Malaysia dan komuniti Korea,” ujarnya.
Sebagai individu yang telah menetap di Malaysia lebih 30 tahun, Datuk Matthew amat memahami kepentingan halal dalam industri makanan tempatan. Beliau menjadi antara perintis dalam memperkenalkan pensijilan halal kepada pengeluar makanan di Korea sejak lebih sedekad lalu.
“Pada awalnya, industri makanan Korea kurang sedar tentang keperluan halal. Tapi setelah saya lama di Malaysia dan memahami keperluan pengguna Muslim, saya mula berbincang dengan pihak industri di Korea untuk memperkenalkan pensijilan halal dan menjelaskan kepentingannya. Kini, kesedaran itu telah berkembang pesat,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa sebahagian besar produk yang dibawa masuk oleh KMT kini telah diperakui halal oleh JAKIM, termasuk jenama terkenal Tongil Kimchi, dan pelbagai produk makanan lain yang diimport terus dari Korea.
“Kini, pelanggan Muslim tidak perlu risau untuk menikmati makanan Korea. Hampir semua produk yang kami bawa telah disahkan halal, dan ada juga yang dihasilkan secara tempatan menggunakan bahan-bahan halal serta dikendalikan oleh tenaga kerja Muslim,” kata Datuk Matthew.
Menurutnya lagi, kesemua cawangan K PLUS di Malaysia termasuk di The Curve, Sunway, Isetan KCC, dan TRX menawarkan produk halal yang disemak secara teliti bagi memastikan kualiti dan pematuhan kepada piawaian yang ditetapkan.
Korea Kimchi Festival 2025 bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan kimchi kepada rakyat Malaysia, tetapi juga simbol keakraban antara dua budaya yang semakin rapat.

“Bila kita makan kimchi bersama, kita sebenarnya sedang berkongsi sebahagian daripada semangat dan jiwa masyarakat Korea. Ia bukan sekadar makanan, tetapi satu bentuk komunikasi tanpa bahasa. Melalui kimchi, kita belajar menghargai perbezaan dan merasai persamaan,” ujar Datuk Matthew menutup perbualan dengan senyuman.

Dengan gabungan antara keaslian rasa, nilai tradisi, dan komitmen terhadap halal, Korea Kimchi Festival 2025 bukan sahaja menjanjikan pengalaman gastronomi yang memikat, tetapi juga sebuah perjalanan budaya yang menyentuh hati mempertemukan rakyat Korea dan Malaysia melalui sepinggan kimchi yang sarat makna.
Korea Kimchi Festival 2025 akan berlangsung dari 8 hingga 16 November 2025 di K PLUS Food Market, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. Kemasukan adalah percuma, namun pendaftaran diperlukan bagi bengkel tertentu.



