Oleh Zihan Zari
KOTA BHARU – Program After Monsoon Project: TERA-KOTA’ bukan sekadar pameran seni, tetapi merupakan satu usaha menghidupkan semula makna tanah dan tapak sebagai sumber naratif, inspirasi dan jati diri. Ia menggabungkan nilai tradisi, komuniti dan ekspresi kontemporari dalam satu ruang yang menyatukan manusia dengan alam.
Program ini yang dianjurkan oleh Art Matters Trading, dengan kerjasama Balai Seni Negara melalui Tabung Bantuan Seni (TBS) telah dirasmikan oleh Pengarah Filem dan Seniman Sabri Yunus di Pantai Pulau Kundur, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, serta para penggiat seni.
Dalam kenyataan Balai Seni Negara berkata TERA KOTA merupakan kesinambungan kepada dua edisi terdahulu yang telah berlangsung di Tumpat, Kelantan pada tahun 2023, iaitu After Monsoon 01 dan After Monsoon 02, yang berjaya menarik perhatian peminat seni serta masyarakat setempat.
“Tahun ini, edisi ketiga mengetengahkan tema ‘Tanah, Tubuh, Tapak’, yang menelusuri makna terra (tanah) sebagai sumber kehidupan dan ruang asal, manakala kota melambangkan tubuh sosial hasil pengalaman dan interaksi manusia dengan persekitaran.
“Menerusi penyertaan seramai 10 orang seniman, ‘TERA-KOTA’ menghimpunkan unsur seni, warisan dan alam dalam konteks seni kontemporari, menjadikan Pantai Pulau Kundur sebagai ruang seni terbuka yang hidup dan organik,”kata kenyataan itu.
Katanya, pendekatan off-wall dan off-pedestal dalam pameran digunakan bagi memberi kebebasan kepada seniman untuk
berinteraksi terus dengan alam sekitar, menjadikan wakaf, halaman rumah dan pantai sebagai ruang instalasi.
“Edisi kali ini turut mendapat kerjasama Varna Art Gallery serta Patani Art Space dari selatan Thailand, menjadikannya sebagai wadah penting bagi pertukaran idea, jaringan dan kolaborasi seni serantau.
“Selain pameran utama, program ini turut menampilkan acara kenduri (Bekwah), persembahan kebudayaan, dan pembinaan kemudahan tempat bakar seramik (gok) yang akan dikongsi bersama komuniti tempatan, ”katanya lagi.
Ujarnya, pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara seniman dan masyarakat, tetapi turut menonjolkan fungsi seni sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Pemilihan Pulau Kundur sebagai lokasi pameran juga membuka peluang untuk memperkenalkan keunikan kampung nelayan dan komuniti pembuat batik yang aktif di kawasan tersebut.
“Program ini juga dijangka mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dari Thailand dan Singapura, sekaligus menyokong usaha memperkasa pelancongan budaya di Malaysia, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, melalui penganjuran ini, ia diharap dapat memperkukuh hubungan antara seni dan masyarakat serta membuka ruang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengenali keindahan budaya Malaysia dengan lebih dekat,”tambahnya lagi. – SUARA.TV



