KUALA LUMPUR- Walaupun Malaysia mempunyai sumber nadir bumi (REE) yang banyak, tetapi usaha melombongnya berhadapan dengan laluan sukar sebab sebahagian besar bahan galian itu berada di kawasan hutan simpan kekal (HSK).
Jika kerajaan mengambil keputusan untuk memanfaatkan sumber galian itu, maka hutan simpan terbabit perlu dinyahsenaraikan terlebih dahulu, sekurang-kurang untuk tempoh sementara bagi membuka jalan kepada kerja-kerja melombong.
Namun, jika keputusan diambil untuk mengekalkan hutan simpan sebagai khazanah berharga, negara akan kerugian sekitar RM800 bilion berdasarkan nilai REE tersebut, lapor muka depan Utusan pada Selasa.
Berdasarkan pemetaan semasa, lebih 70 peratus deposit REE terletak di HSK, dan selebihnya di tanah milik kerajaan negeri.
Pada masa sama, Malaysia akan turut mengalami kerugian kira-kira RM500 bilion menjelang tahun 2050 jika lewat memulakan industri nadir bumi.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata, lebih 40 peratus daripada deposit nadir bumi tersebut berada di Terengganu, menjadikan negeri itu antara lokasi utama yang mempunyai sumber mineral berharga itu, tetapi dasar semasa menghalang sebarang aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan.
“Kita tidak boleh terus berpegang kepada dasar lama sedangkan teknologi moden kini sudah mampu memastikan perlombongan dilakukan secara terkawal dan lestari tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Projek rintis di Kenering, Perak, menggunakan kaedah in-situ leaching, terbukti berjaya tanpa menjejaskan ekosistem hutan,” lapor akhbar itu.
Ahmad Amzad berkata, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme nyah-senarai sementara HSK bagi kawasan dikenal pasti mempunyai potensi tinggi, dengan syarat ketat melibatkan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang menyeluruh serta pelan pemulihan hutan selepas perlombongan.
Setakat September 2023, lebih 5,700 tan metrik Rare Earth Carbonate (REC) dieksport ke China melalui projek perintis tersebut sebelum kerajaan mengenakan larangan eksport bahan mentah itu bagi memastikan aktiviti pemprosesan dilakukan dalam negara.
“Kelewatan dalam meluluskan aktiviti perlombongan sah mendorong kepada peningkatan kegiatan haram yang menggunakan kaedah berbahaya seperti asid berkepekatan tinggi. REC ini mudah diseludup keluar kerana bentuknya seperti ketulan kapur biasa,” katanya.
Dalam konteks pembangunan industri, syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) menyatakan kesediaan melabur lebih RM1 bilion membina kemudahan baharu khusus bagi memproses REE tempatan secara berasingan daripada sumber Mount Weld, Australia yang diproses di kilang sedia ada.
Berdasarkan sesi libat urus Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersama agensi berkaitan, pemantauan berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Jabatan Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menunjukkan tiada kesan ketara terhadap alam sekitar hasil pelaksanaan projek REE yang mematuhi piawaian antarabangsa.
“Kita mempunyai banyak undang-undang mengawal industri ini termasuk kawalan mutu air dan perlesenan tenaga atom. Dengan penguatkuasaan ketat, REE boleh menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu pakar perunding nadir bumi, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, ketika kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China bersaing menguasai mineral kritikal seperti nadir bumi demi dominasi global, Malaysia dilihat terus bergelut dengan isu birokrasi, percanggahan dasar antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta ketidaktentuan politik yang menghambat kemajuan sektor tersebut.
Katanya, Malaysia dianggarkan mengalami kerugian bersamaan satu peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang berjumlah lebih RM500 bilion menjelang 2050 dengan peluang pekerjaan 25,000 orang, jika lewat memulakan industri nadir bumi.
“Jika dilihat statistik beberapa kajian nadir bumi negara (jika kita mengambil manfaat lima peratus sahaja daripada jumlah 16 juta tan metrik nadir bumi negara). Setiap negeri dianggarkan kerugian RM300 ke RM500 juta ringgit setahun daripada royalti perlombongan nadir bumi.
“Jumlah royalti antara 12 peratus hingga 15 peratus, hasil pajakan tanah yang mana ia bergantung pada kuantiti simpanan yang ada.
“Untuk negara, kerugian dalam sektor huluan atau perlombongan ini menjelang 2030 adalah lebih daripada RM2 bilion dengan terlepasnya peluang pekerjaan sebanyak 3,000 orang,” katanya.
Beliau menyarankan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri SG4 (Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis) menghentikan pertelingkahan politik demi kepentingan pembangunan nasional.
“Berehat daripada konflik politik, sebaliknya tumpu kepada kerjasama antara negeri dan pusat.
“Tiga negeri Pantai Timur, Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dua negeri utara, Kedah dan Perak, mempunyai lebih sejuta tan metrik sumber REE yang mampu menjadikan Malaysia peneraju industri nadir bumi Asia Tenggara,” katanya.
Badhrulhisham turut mencadangkan pembinaan dua kilang pemprosesan utama di Pantai Barat dan Pantai Timur untuk menghasilkan nadir bumi oksida serta membuka ruang pelaburan bersama syarikat antarabangsa bagi membina kilang supermagnet melalui usahasama di Malaysia.
“Dengan sumber, kepakaran tempatan dan komitmen bersama, negara mampu menjadi pemain global utama dalam industri nadir bumi, tanpa perlu berpihak kepada AS atau China.
“Percaya kepada kemampuan rakyat dan institusi tempatan, kita mampu maju sebagai negara berdaulat berasaskan sumber strategik dunia moden,” katanya.



