FIFA kekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain import — denda lebih RM1.9 juta, penggantungan 12 bulan

KUALA LUMPUR, — Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain import yang didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FIFA Disciplinary Code, FDC) berkaitan pemalsuan dan penyelewengan dokumen.

Dalam satu kenyataan rasmi, badan induk bola sepak dunia itu menjelaskan bahawa keputusan dibuat selepas meneliti rayuan yang dikemukakan oleh FAM serta tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Jawatankuasa berkenaan menolak rayuan tersebut dan mengekalkan sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini.

Menurut keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (sekitar RM1.9 juta) kepada FIFA.

Sementara itu, ketujuh-tujuh pemain terbabit turut dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,900) setiap seorang, selain penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, termasuk perlawanan rasmi dan aktiviti berkaitan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

FIFA menjelaskan bahawa semua pihak telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut pada hari ini. FAM dan para pemain mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon “motivated decision” (keputusan bersebab bertulis).

Selepas menerima dokumen berkenaan, mereka masih mempunyai tempoh 21 hari untuk mengemukakan rayuan terakhir kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

Kes ini berpunca daripada dakwaan bahawa terdapat penyelewengan dalam proses pendaftaran pemain asing oleh kelab di bawah naungan FAM, termasuk dokumen yang dikatakan tidak sahih atau dipalsukan.

FIFA menegaskan bahawa sebarang bentuk pemalsuan dokumen, terutamanya dalam urusan pendaftaran pemain, merupakan pelanggaran serius terhadap integriti sukan dan peraturan antarabangsa.

Keputusan ini sekali gus memberi tamparan besar kepada FAM yang kini berdepan tekanan untuk menjelaskan denda besar serta memulihkan semula reputasi bola sepak negara di mata dunia.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat