KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan menolak pendekatan ramai pelabur luar datang ke Kelantan untuk melombong dan membeli Unsur Nadir Bumi (REE) bagi dibawa balik ke negara mereka untuk diproses.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan, kerajaan negeri pimpinan Pas itu menolak pendekatan ini.
“Dasar kita jelas. REE mesti diproses kalau tidak sepenuhnya tetapi semaksimumnya di Kelantan. Bukan digali dan dieksport mentah. Kita realistik dalam hal ini.
“Apabila diproses di sini (Kelantan), nilai tambahnya meningkat berganda. Industri huluan (upstream) dan hiliran (downstream) akan berkembang. Peluang pekerjaan dan latihan kemahiran tinggi akan terbuka untuk anak-anak muda kita.
“Inilah dasar yang telah kita tetapkan. Kita mencari kaedah terbaik, rakan pelabur yang adil dan bentuk kerjasama yang membawa keuntungan maksimum kepada rakyat dan negeri Kelantan. Bukan mereka yang hanya mahu mengaut hasil bumi dan meninggalkan hanya kerak dan sisa,” tegas beliau.
Fadzli menyatakan, Perjanjian Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika.
Tegasnya, ini menimbulkan persoalan besar. Bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau menghadkan eksport bahan mentah demi menjamin nilai tambah tempatan, adakah langkah itu akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian tersebut?
“Adakah negeri masih bebas menentukan dasar sendiri, atau semuanya kini terikat kepada janji yang dibuat Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Amerika Syarikat? Ini bukan soal politik. Ini soal kedaulatan ekonomi negeri.
“Sebelum perjanjian ini tandatangani, negeri-negeri pengeluar malangnya tidak dirunding. Bagaimana perjanjian bernilai berbilion ringgit yang menyentuh hasil bumi negeri boleh dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri. Ini menyimpang dari semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan,” bidas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu.
Kata Fadzli, rakyat Kelantan masih menanggung luka akibat kehilangan hasil royalti petroleum.
Ujarnya, itu adalah antara ketidakadilan terbesar yang telah dilakukan terhadap rakyat dan kerajaan negeri Kelantan. Adakah sejarah dan episod luka ini akan berulang.
“Kami tidak akan membenarkan REE menjadi petroleum kedua. Negeri ini tidak boleh sekali lagi hanya menjadi penonton kepada kekayaan sendiri sedangkan orang lain yang menikmatinya. Hasil bumi ini mesti kekal untuk rakyat Kelantan.
“REE ialah asas kepada teknologi masa depan. Ia penting untuk tenaga hijau, pertahanan negara dan pembangunan industri. Jika hala tujunya ditentukan oleh perjanjian dengan kuasa asing, masa depan negara tidak lagi berada di tangan kita.
“Kami tidak menolak pelaburan luar. Tetapi pelaburan mesti disertai rasa hormat kepada kedaulatan negeri. Bukan menyerahkan hak kepada orang lain atas nama diplomasi.
“Walaupun hak untuk menandatangani sebarang perjanjian di peringkat antarabangsa adalah hak persekutuan tetapi sumber dan “subject matter” nya adalah hak kerajaan negeri. Negeri pengeluar berhak tahu dan berhak bersuara tentang sumbernya sendiri,” selar beliau.
Menurut Fadzli lagi, Kerajaan Kelantan memandang serius perjanjian dagang yang ditandatangani baru- baru ini antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur.
Katanya, antara yang menjadi persoalan utama adalah perkara yang menyentuh sektor mineral kritikal termasuk Unsur Nadir Bumi (REE). Kandungannya menimbulkan persoalan dan implikasi besar kepada negeri sumber REE seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah serta negeri-negeri lain.
“Kelantan memiliki deposit Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu. Nilainya mencecah ratusan bilion ringgit. Sumber ini terletak di daratan dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut, “peraturan 3 batu nautika” tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat dan kerajaan negeri Kelantan.
“Dalam kes petroleum, dengan menggunakan peraturan tersebut kerajaan negeri Kelantan telah dinafikan hak terhadap royaltinya walaupun jelas disebut dalam perjanjian. REE berada di daratan dan adalah menjadi hak mutlak negeri dan rakyat Kelantan. Ia hasil bumi yang wajib dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat, bukan ditentukan oleh pihak atau kuasa luar.
“Banyak pihak yang sangat berminat dengan REE. Setakat ini ramai pelabur luar datang ke Kelantan untuk melombong dan membeli REE bagi dibawa balik ke negara mereka untuk diproses,” ujarnya.



