KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengeluarkan amaran tegas kepada semua Ahli Parlimen agar tidak menghina penjawat awam sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.
Amaran itu dibuat susulan kekecohan yang tercetus ketika Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyampaikan Sesi Kenyataan Menteri mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat pada Rabu.
“Dengar dahulu kenyataan Menteri, jangan kutuk penjawat awam. Jika tidak puas hati dengan menteri, itu perkara lain, tetapi jangan hina pegawai kita,” tegas Johari.
Johari berkata, pihaknya memiliki bukti penghinaan terhadap Ketua Setiausaha dan beberapa pegawai lain.
Menurutnya, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar etika berbahas.
Dalam pada itu, Johari turut menasihatkan supaya segala persoalan dikemukakan semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, esok.
Sebelum itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mendakwa Tengku Zafrul memfitnah apabila meluahkan kekecewaan terhadap Ahli Parlimen yang mempersenda usaha pegawai awam dalam rundingan perjanjian dengan AS.
Menurut Zafrul, dia sangat kecewa apabila usaha pasukan perunding dipersenda.
“Ada Ahli Parlimen mendakwa perjanjian ini ‘menggadai negara’, adakah maksud itu turut ditujukan kepada penjawat awam? Cukuplah berpolitik,” katanya.
Situasi menjadi lebih tegang apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mempertikaikan arahan Johari supaya Wan Ahmad Fayhsal duduk.
Beberapa penyokong kerajaan seperti Syahredzan Johan (PH-Bangi) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) turut menegaskan supaya Ahli Parlimen pembangkang mematuhi arahan Speaker.
Johari mengingatkan bahawa pada awal sesi beliau sudah memberi amaran agar tiada celahan atau pertanyaan semasa ucapan Menteri berlangsung.
“Mungkin Wan Ahmad datang lewat, lain kali datang awal. Jika ingin bertanya, lakukan semasa sesi penggulungan esok,”katanya.
Kemudian Johari meminta semua Ahli Parlimen duduk dan memberi laluan kepada Tengku Zafrul untuk menyambung penjelasannya.



