KUALA LUMPUR, – Hampir enam bulan selepas tamat kontrak, akhirnya Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menerima surat sambungan pelantikan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad.
Pelantikan semula itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu majlis rasmi di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur hari ini.
Pelanjutan ini menandakan kesinambungan kepimpinan yang terbukti berkesan dalam memperkasa agenda pembangunan sosioekonomi luar bandar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI serta peranan FELCRA sebagai agensi pemangkin kemajuan desa.
Di bawah kepimpinannya, FELCRA mencatatkan prestasi cemerlang dengan Keuntungan Boleh Agih sebanyak RM192.51 juta bagi tahun 2024, peningkatan 154 peratus atau RM116 juta berbanding tahun sebelumnya. Keuntungan itu memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta FELCRA di seluruh negara melalui 583 projek penyatuan dan pemulihan tanah (P&P).
Selain itu, peningkatan hasil sawit sebanyak 9.24 peratus serta penjimatan kos operasi sebanyak RM401 per hektar membuktikan kecekapan pengurusan ladang FELCRA yang semakin strategik dan mampan.
Dalam aspek tenaga hijau, FELCRA di bawah pimpinan Ahmad Jazlan berjaya mengoperasikan Loji Biogas FELCRA Jayaputra di Jerantut, Pahang berkapasiti 5.5 megawatt kini diiktiraf sebagai loji biogas FELCRA terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records. Loji tersebut mampu membekalkan tenaga bersih kepada lebih 300,000 penduduk luar bandar.
FELCRA juga muncul sebagai agensi penting KKDW dalam pengukuhan dasar keterjaminan makanan negara, menerusi pelbagai projek seperti penanaman padi dan nanas MD2, penternakan lembu, ayam pedaging moden serta pengeluaran produk hiliran termasuk beras, minyak sawit dan makanan ternakan.
Antara projek utama ialah Ternakan Ayam Pedaging Tertutup di Tanjung Seratus, Rompin, yang mampu menghasilkan 1.5 juta ekor ayam pedaging setahun, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Ahmad Jazlan dalam kenyataannya menegaskan bahawa pelantikan semula ini merupakan satu amanah untuk meneruskan khidmat kepada rakyat luar bandar.
“Pelantikan ini merupakan amanah untuk meneruskan khidmat. Saya tidak akan berlengah untuk terus bekerja demi mengangkat FELCRA dan masyarakat luar bandar, selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya.
FELCRA di bawah kepimpinannya akan terus memberi tumpuan kepada inovasi teknologi pertanian, pembangunan komuniti, tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar ke arah menjayakan pembangunan luar bandar yang inklusif dan mampan.-SuaraTV



