KUALA LUMPUR, – Kerajaan dicadang mengkaji semula struktur serta fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dilihat semakin menyimpang daripada objektif asal penubuhannya untuk melindungi kepentingan pengguna serta memastikan pasaran kekal adil dan kompetitif.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN), berkata MyCC kini dilihat lebih memberi tumpuan kepada isu teknikal dalam sektor kurang kritikal, selain mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat.
“Ketika rakyat terbeban dengan isu caj dan bayaran yang seolah-olah tidak dikawal selia, pemain industri kritikal seperti makanan, pengangkutan, perubatan dan insurans terus meraih keuntungan besar setiap tahun.
Kegagalan mengutamakan kepentingan rakyat adalah kegagalan yang tidak boleh dikompromi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, kelemahan MyCC dalam menangani kegiatan kartel, khususnya dalam sektor makanan, memberi kesan langsung kepada harga barangan asas seperti ayam dan daging.
“Sampai bila putaran kegagalan MyCC ini akan memberi kesan buruk kepada rakyat? Dengan membiarkannya berlarutan sedemikian lama, seolah-olah berlaku sabotaj terhadap Kerajaan MADANI yang komited mahu membela rakyat,” katanya.
Jalaluddin turut menegaskan bahawa isu pencatutan harga makanan dan manipulasi pasaran oleh kartel perlu menjadi fokus utama penguatkuasaan MyCC, bukannya hanya pada kes terpencil atau bersifat simbolik.
Beliau turut merujuk pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes kartel susu tepung bernilai RM120 juta yang tidak mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti kelemahan MyCC dalam mengawasi industri kritikal.
“Pendedahan SPRM itu cukup untuk memperlihatkan kegagalan MyCC dalam memahami bidang kuasa dan fokus sebenar. Oleh itu, wajar satu kajian semula terhadap keutamaan serta bidang penguatkuasaan dilakukan segera supaya MyCC tidak dilihat ‘syok sendiri’,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar MyCC menubuhkan badan penasihat bebas, seperti yang diamalkan oleh SPRM, bagi memastikan pelaksanaan dasar serta penyiasatan lebih telus dan berwibawa.
“Langkah ini penting untuk memastikan MyCC menjadi institusi yang berwibawa, mampu membina keyakinan pelabur, serta menjaga kepentingan awam sebagai terasnya,” kata Jalaluddin.



