KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kemampuan kerajaan melaksanakan program subsidi bersasar BUDI Madani RON95 (BUDI95) adalah hasil daripada tatakelola baik serta langkah pembaharuan dasar yang berjaya menutup ruang ketirisan dan rasuah.
Menteri Kewangan itu berkata, tidak semua negara mampu meneruskan program subsidi bersasar kerana memerlukan disiplin kewangan, ketelusan serta kawalan perbelanjaan yang ketat.
“Kalau kita lihat negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi, harga minyak di sana pun kini jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.
“Kenapa kita masih mampu beri subsidi? Jawapannya kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Peehimpunan Bulanan di Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Jumaat.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI95, sementara bagi bukan warga negara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama, lapor BH.
Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menikmati harga bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan.
Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan Madani mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).



