KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Razlan Muhammad Rafii tidak berhasrat menyalahkan prestasi kurang memberangsangkan beberapa menteri dari Pakatan Harapan (PH).
Beliau sebaliknya menasihatkan agar menteri-menteri PH yang dianggap ‘fumbles’ memperbaiki diri dan cara kerja dalam baki mandat Kerajaan Perpaduan yang bersisa 2 tahun mendatang ini.
Setiausaha Politik, kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga tidak mempertikai barisan menteri Kabinet yang telah dipilih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika awal pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Memang wujud perbandingan prestasi enam menteri Umno bagus dalam Kabinet kerana mereka mempunyai pengalaman jika dibanding beberapa menteri PH yang dinilai mengurangkan imej baik itu.
“Tak apa, kerana yang mereka buat itu berdasarkan kebijaksanaan mereka dan juga pengetahuan mereka, jadi rakyat dah memilih, rakyat memilih 5 tahun, kita ada 2 tahun lagi.
“Kita dalam sistem demokrasi ini yang ramai mendapat majoriti menjadi kerajaan. Maka yang boleh membentuk kerajaan itu rakyat pilih Perdana Menteri, jadi tak boleh cakap Menteri itu Anwar pilih. Kamu dah pilih parti itu terpulanglah kepada dia (PM) nak pilih siapa (menteri).
“Kalau mereka rasa hari ini mereka nak perbaiki diri, perbaiklah -kena repair satu-satulah mereka kena terangkan bahawasanya kerajaan ini. saya nak bagi contoh – nak buat pilihan raya PBT tapi tidak dibenarkan, memang tidak dibenarkan sebab kerajaan bersama dengan BN jadi maksudnya kekal yang sedia ada -apa yang ada hari ini buat benda yang baik saja,” katanya dalam audio siar Jam Kesebelas.
Razlan malah mengungkit prestasi menteri era Pas dan Bersatu jadi kerajaan sebelum ini.
“(Prestasi) ini tentang pengalaman- dulu Pas pun fumbles jugak – dulu Bersatu jadi kerajaan jadi menteri fumbles lagi banyak lagi bertimbun.
“Kalau nanti pilihan raya kamu pilih Bersatu, tengok track record lagi teruk.
“Apa yang kita ada hari ini kita teruskan, lagi 5 tahun kita fikir kemudian,” ujar Ketua Umno Bahagian Seputeh itu lagi.
Dalam perkembangan lain, Razlan mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang mentadbir hari ini tidak mempunyai buku manifesto namun beliau optimis rakyat berpuas hati dengan dasar dan cara tadbir kerajaan.
“Bagi pandangan saya -kami (kerajaan) puas hati, kami buat kerja apa yang kami mampu dan kami buat kerja setiap hari.
“Kalau kami buat kerja setiap hari begini rakyat masih rasa tak puas hati itu tak apalah, kita ada banyak dasar terhadap orang Melayu dan orang miskin.
“Justeru saya juga rasa rakyat puas hati dengan kerajaan. Persepsi mungkin – so-so.
“Bagi saya perkara yang kita buat selama ini rakyat ramai menerima dan ada segolongan rakyat yang tidak menerima dan ini normal dan kita kena betulkan naratif rakyat, kita tak boleh buat semua orang puas hati,” ujarnya.



