KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng berpendapat kerajaan perlu menawarkan pemberian rebat cukai khas RM1,000 untuk pembelian penapis udara bagi membantu rakyat Malaysia melindungi kesihatan ketika menghadapi krisis jerebu yang berasal dari Indoesia.
Dalam satu kenyataan di Facebook beliau berkata kerajaan Indonesia telah gagal menangani krisis itu sehigga menjadi serius dan masih enggan mengisytiharkan situasi tersebut sebagai bencana nasional.
Guan Eng berkata rebat berkenaan juga boleh membantu golongan rentan terutamanya warga emas dan kanak-kanak kecil daripada kesan buruk jerebu.
Beliau memetik kenyataan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia Dudung Abdurachman yang menyatakan bahawa bantuan asing termasuk dari Malaysia untuk membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah secara meluas perlu menunggu sehingga Indonesia mengisytiharkan keadaan tersebut sebagai bencana peringkat negara.
Guan Eng turut mendakwa respon kerajaan Malaysia lemah di bawah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan dan ia amat mengecewakan.
“Mohama Hasan enggan mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Jerebu Rentas Sempadan ASEAN yang mempunyai kakitangan tetap dari negara-negara ASEAN dan bersedia untuk menjalankan usaha pemadaman kebakaran dengan segera,” katanya menurut kenyataan itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP-Bagan berkata Mohamad juga enggan menyaman kerajaan Indonesia dan terus bergantung pada usaha diplomatik yang telah terbukti gagal.
“Sekiranya Malaysia enggan mengambil tindakan terhadap Indonesia demi membantu rakyat Malaysia yang menderita akibat jerebu, kerajaan sekurang-kurangnya perlu menawarkan rebat cukai khas (dan) bukan potongan cukai sebanyak RM1,000 bagi membantu rakyat Malaysia membeli penapis udara untuk menghadapi krisis jerebu ini.
“Pada masa ini, banyak penapis udara telah habis dijual dan harganya juga meningkat akibat kekurangan bekalan,” kata Guan Eng.



