Red Velvet – IRENE & SEULGI gegarkan Kuala Lumpur dengan konsert [BALANCE]

Malam Sabtu lalu, suasana di Megastar Arena bertukar menjadi lautan cahaya apabila Red Velvet  IRENE & SEULGI akhirnya menunaikan janji mereka untuk hadir dengan konsert solo pertama di Malaysia. Konsert bertemakan 2025 IRENE & SEULGI Concert Tour [BALANCE] ini menjadi penutup untuk siri persembahan mereka di Asia Tenggara, dan Kuala Lumpur jelas sekali menerima layanan istimewa dengan persembahan yang begitu rapi dari awal hingga akhir.

Sebaik sahaja lampu dewan dipadamkan, layar gergasi di pentas mula memainkan video pembukaan. Sorakan bergema sebaik siluet Irene dan Seulgi terpampang, memberi tanda bermulanya perjalanan dua jam yang mendebarkan. Mereka melangkah ke pentas dengan lagu baharu TILT, penuh bertenaga dan penuh gaya. Suasana terus membara apabila rangkaian lagu Feel Good, Trampoline, Diamond, dan Naughty dipersembahkan.

Setiap lagu bukan sekadar nyanyian dan tarian, tetapi dipadankan dengan pencahayaan dramatik dan paparan visual futuristik di skrin, menjadikan persembahan terasa seolah-olah sebuah pementasan seni moden.

Tanpa disangka, pentas kemudian diberikan sepenuhnya kepada Seulgi. Beliau membuka segmen solo dengan Praying, sebuah lagu sarat emosi yang mempamerkan kekuatan vokalnya. Suasana bertukar lebih gelap dan intens dengan Dead Man Runnin’, sebelum Seulgi menunjukkan sisi lebih santai dengan Rollin’ (With My Homies).

Sorakan semakin kuat ketika dia membawakan Better Dayz, memperlihatkan versatiliti Seulgi yang boleh beralih daripada gaya misterius ke aura penuh keyakinan hanya dalam beberapa minit. Karisma dan ekspresi wajahnya seolah-olah “mengikat” setiap mata yang memandang.

Selepas itu, suasana menjadi nostalgik apabila Irene kembali ke pentas dan kedua-duanya membawakan Be Natural serta Irresistible. Lagu-lagu ini mengingatkan kembali bagaimana sub-unit Red Velvet ini mula dikenali kerana keserasian unik mereka gabungan vokal halus Irene dengan suara lantang Seulgi yang saling melengkapi.

Kemudian tibalah giliran Irene bersinar sendirian. Beliau tampil dengan Strawberry Silhouette, Calling Me Back, Ka-Ching, dan Start Line. Jika Seulgi memukau dengan tenaga dan keintensitannya, Irene pula membawa ketenangan dan kelembutan yang membuai.

Persembahan Like a Flower menjadi kemuncak segmen solo Irene – dengan pencahayaan lembut dan suasana romantik, seolah-olah seluruh dewan ditarik masuk ke dalam dunia peribadinya. Gaya persembahannya yang elegan membuktikan bahawa Irene bukan sahaja seorang “visual” tetapi juga seorang penghibur penuh pesona.

Selepas itu, Seulgi kembali dengan Baby Not Baby, sebelum kedua-duanya kembali bersatu untuk rangkaian lagu What’s Your Problem?, Heaven, Girl Next Door, Monster, dan Jelly. Setiap lagu dibawakan dengan koreografi padat, vokal mantap, dan visual pentas yang berbeza, mengekalkan momentum konsert di tahap tertinggi.

Sorakan semakin lantang apabila mereka membawakan Monster, lagu debut sub-unit yang menjadi penanda kerjaya bersama mereka. Ia bagaikan simbol peringatan bahawa perjalanan mereka sebagai duo bermula dari situ, dan kini ia mencapai kemuncak dengan konsert berskala besar seperti ini.

Tidak lengkap sebuah persembahan tanpa penghormatan kepada Red Velvet. Sebagai penutup, mereka menghadiahkan medley lagu popular kumpulan itu, termasuk Your Better Know dan Zimzalabim. Suasana berubah menjadi pesta warna-warni, dengan penonton berdiri, menari, dan menyanyi bersama.

Detik ini bukan sahaja menutup konsert dengan penuh meriah, tetapi juga seakan membawa mesej bahawa walaupun mereka bersinar sebagai duo, akar dan semangat Red Velvet tetap menjadi sebahagian penting dalam identiti mereka.

Konsert [BALANCE] di Kuala Lumpur membuktikan sesuatu: Irene dan Seulgi adalah gabungan yang benar-benar “seimbang”. Satu membawa kelembutan, satu lagi penuh tenaga, tetapi keduanya menyatu dalam harmoni yang sempurna.

Dari sudut produksi, pencahayaan, visual, penataan bunyi, hingga ke susunan setlist, semuanya dirancang rapi. Interaksi ringkas mereka di pentas pula menambahkan kehangatan, menjadikan konsert ini bukan sahaja sebuah persembahan, tetapi juga pengalaman peribadi yang meninggalkan kesan mendalam.

Ketika mereka melambai tangan dan mengucapkan selamat tinggal, suasana dewan masih bergema dengan sorakan panjang. Malam itu bukan sekadar konsert – ia adalah sebuah kenangan magis yang akan terus hidup dalam ingatan penonton Kuala Lumpur.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat