Exists Premium Live @ PJ ditunda – persembahan eksklusif menutup 2025

Kumpulan legenda Exists sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan sekadar hadir untuk mengisi ruang hiburan semata-mata. Penundaan konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ daripada 4 Oktober 2025 ke tarikh baharu 20 Disember 2025 membawa mesej lebih besar bahawa kualiti, eksklusiviti, dan penghormatan terhadap peminat adalah keutamaan utama mereka.

Exists, yang dianggotai oleh Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad, bukanlah nama kecil dalam industri muzik tanah air. Dengan rekod lebih tiga dekad, mereka dikenali sebagai pelopor yang melahirkan deretan lagu malar segar, dari balada penuh emosi hingga karya rock yang membakar semangat.

Namun, EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sekadar persembahan nostalgia. Ia dirangka sebagai persembahan berskala besar yang menampilkan produksi teknikal bertaraf antarabangsa dari segi bunyi, pencahayaan hingga interaksi bersama peminat. Maka tidak hairan, apabila penundaan tarikh diumumkan, ia bukan dianggap kekangan tetapi peluang untuk mempersiapkan sesuatu yang benar-benar premium.

Penganjur JioBuddy menegaskan bahawa setiap butiran dalam konsert ini dirancang dengan teliti. “Premium” bukan sekadar tajuk. Ia meliputi kualiti muzik, pengalaman audio yang cemerlang, serta momen intim yang tidak mudah diperoleh dalam konsert biasa.

Salah satu tarikan yang dijanjikan ialah peluang 100 peminat bertuah untuk bergambar peribadi bersama setiap anggota Exists sesuatu yang jarang ditawarkan kumpulan legenda seangkatan mereka.

Selain itu, lokasi konsert di JioSpace, Petaling Jaya, dipilih kerana kesesuaian akustik dan kapasiti yang boleh menampung suasana eksklusif tanpa mengorbankan keselesaan penonton.

Bagi Exists sendiri, tarikh baharu 20 Disember memberi lebih masa untuk memperkemaskan produksi. Along menegaskan, mereka mahu setiap sen yang dibayar penonton setimpal dengan pengalaman yang bakal dirasai. Musa pula menambah, penundaan ini membolehkan peminat benar-benar menantikan sebuah persembahan yang meninggalkan kesan mendalam, seolah-olah pesta penghujung tahun bersama Exists.

Menariknya, konsert pada 20 Disember 2025 ini akan menjadi konsert terakhir Exists untuk tahun tersebut. Justeru, ia disifatkan sebagai kemuncak perjalanan seni mereka sepanjang tahun. Penundaan ini sekali gus menjadikan konsert tersebut lebih bermakna kerana peminat dapat menutup kalendar muzik 2025 dengan persembahan ikonik Exists.

Dengan tiga kategori tiket Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) peminat bukan sekadar membeli tiket konsert, tetapi sebuah pengalaman istimewa. Hakikat bahawa tiket sedia ada kekal sah untuk tarikh baharu juga menunjukkan komitmen Exists dan JioBuddy terhadap kebajikan peminat.

Sejak muncul pada 1991, Exists telah melakar sejarah sebagai kumpulan yang merentasi generasi. Lagu-lagu mereka masih segar dimainkan hingga kini, membuktikan muzik yang tulus tidak pernah lapuk ditelan masa. Maka, EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sekadar acara hiburan, tetapi sebuah perayaan warisan muzik yang akan terus dikenang.

INFORMASI Konsert

  • Artis: Exists
  • Acara: Exists Premium Live @ PJ
  • Lokasi: JioSpace, Petaling Jaya
  • Tarikh: 20 Disember 2025 (Sabtu)
  • Waktu: 8.30 malam
  • Penganjur: JioBuddy
  • Harga tiket: Premium (RM588), VIP (RM488), Diamond (RM368)
  • Pembelian tiket: www.jiotix.asia
  • Hotline WhatsApp (OKU sahaja): +6011 1660 1122
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat