KUALA LUMPUR – Calon Perdana Menteri ramai tetapi formula untuk selesai masalahnya kurang, itulah punca kepada penyakit masyarakat kita.
Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, negara kita tidak pernah ketandusan ahli-ahli politik yang mahu menjadi calon, terutamanya untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian mengulas, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kecoh baru-baru ini, bermula dengan satu surat layang yang menuduh ada cubaan untuk mengumpul sokongan memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Katanya, isu surat layang ini berlanjutan ke perhimpunan agung apabila ada insiden jerit menjerit semasa Muhyiddin berucap.
“Memandangkan PRU16 boleh dipanggil dalam tempoh 2 tahun dari sekarang, musim pilihan raya datang lagi. Musim pilihan raya bermakna ramai yang boleh jadi calon. Calon ahli parlimen, calon menteri besar, calon menteri dan yang paling hebat, calon Perdana Menteri. Jadi, ini musim yang calon-calon akan tumbuh seperti cendawan.
“Setiap parti utama di negara ini sebenarnya ada pergolakan masing-masing. PKR telah selesai. Walaupun nampak damai di luar, tetapi luka dari pemilihan yang lepas adalah sukar untuk dipulihkan, baik di dalam parti atau di mata pengundi.
“DAP juga akan terus berhadapan dengan pertembungan kumpulan-kumpulan dan sentimen bahawa veteran parti diketepikan kerana ramai orang baru yang masuk.
“Umno akan terus dibayangi oleh kumpulan Datuk Seri Najib yang tidak wala’ sepenuhnya kepada presiden Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Manakala Pas nampak tenang dari luar, tetapi tokoh-tokoh utama menyusun strategi untuk menjadi pemimpin selepas zaman Tan Sri Hadi Awang, memandangkan keadaan kesihatan yang semakin uzur. Kemudian ada pertembungan golongan ustaz melawan yang bukan ustaz.
“Kemudian kita ada Bersatu. Saya dimaklumkan keadaannya sudah sampai ke peringkat mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan Muhyiddin. Itu belum lagi ura-ura usaha untuk mengumpul ahli-ahli parlimen untuk tebuk atap sekali lagi,” bidas Rafizi.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, negara kita tidak pernah ketandusan ahli-ahli politik yang mahu menjadi calon, terutamanya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Calonnya ramai, cuma jumloh belum cukop. Belum cukop jumloh untuk menggulingkan Muhyiddin, belum cukop jumloh untuk tebuk atap.
“Semua ini terus berlaku dalam keadaan penyokong-penyokong yang wala’ di bawah saling memaki hamun dan menanggung risiko dosa fitnah setiap hari.
“Budaya penyokong-penyokong wala’ yang memaki hamun di media sosial dan menjadi pembuli siber ini juga yang sedikit sebanyak menjadi teladan kepada anak-anak kita, kerana pewala’ yang memaki hamun ini juga ibu bapa kepada anak-anak.
“Akhirnya, bila ada pemimpin baru yang naik, masalah tidak selesai. Maki hamun berterusan dan kitaran itu berterusan,” selar bekas Menteri Ekonomi itu lagi.



