KUALA LUMPUR- Tokoh Wartawan Datuk A Kadir Jasin membangkitkan persoalan sama ada Thaksin Shinawatra masih kekal penasihat tidak formal kepada Pengerusi Asean Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas masuk penjara.
“Thaksin Shinawatra sudah masuk penjara.
“Adakah dia kekal Penasihat Peribadi Perdana Menteri Malaysia?
Pada Disember 2024, Anwar melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian Asean-Malaysia 2025.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi Asean berkenaan isu serantau.
Mahkamah Agung Thailand pada Selasa mengarahkan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra menjalani hukuman penjara setahun berhubung sabitan rasuah dan salah guna kuasa, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Perkhidmatan Penyiaran Awam Thailand.
Thaksin digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada 2006 dan hidup dalam buangan sendiri, kebanyakannya di Dubai selama beberapa tahun.
Selepas kembali ke Thailand pada 2023, beliau segera dibicarakan, disabitkan kesalahan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang pentadbirannya dan dijatuhi hukuman penjara 8 tahun.
Bagaimanapun, selepas Thaksin memohon pengampunan diraja, Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn berkenan mengurangkan hukuman itu kepada setahun.
Namun, beliau berada di penjara kurang daripada sehari sebelum dipindahkan ke Police General Hospital berikutan masalah kesihatan.
Beliau berada di hospital selama enam bulan sebelum diberikan parol dan pulang ke rumahnya di Bangkok.
Isu perundangan terbaharu itu berkisar mengenai kesahihan pemindahannya ke hospital dan sama ada masalah kesihatannya benar-benar sahih.



