Malaysia berjaya dapat balik RM39.1 juta hasil lucut hak aset Jho Low, keluarga – SPRM

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya memulihkan aset berjumlah USD 8.57 juta milik Jho Low dan keluarga berkaitan kes 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah berjaya memulihkan aset berkaitan Jho Low dan ahli keluarganya ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

Jelas SPRM, pemulihan aset ini yang berjumlah USD 8.57 juta (RM39.1 juta) adalah hasil daripada usaha penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan oleh Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat.

“Selain itu, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat.

“Pemulangan terbaru ini serta penyelesaian sebanyak USD 330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase & Co baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion,” kata SPRM dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar suruhanjaya itu lagi, pada 26 Jun 2024, Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat telah mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi USD 100 juta.

“Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih USD 1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dikembalikan kepada Malaysia.

“Kejayaan pemulihan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Malaysia melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) yang diketuai SPRM, dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama erat pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” katanya.

Kes 1MDB adalah antara jenayah kewangan terbesar dunia. Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk membawa pulang wang dan aset yang telah diselewengkan serta memastikan semua individu dan institusi yang terlibat dipertanggungjawabkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat