Siapa sangka nasi lemak, rendang ayam, dan nasi kerabu boleh “bersatu” dalam bentuk sushi? Itulah yang dibawa oleh Sushi Plus bersama selebriti chef, Dato’ Fazley Yaakob, juara MasterChef Selebriti Malaysia melalui koleksi terbaharu mereka, Flavour Kahwin Satu eksperimen berani yang menjodohkan cita rasa Malaysia dengan seni sushi Jepun.
Di Malaysia, makanan bukan sekadar hidangan ia adalah bahasa cinta, medium persahabatan, dan simbol kebanggaan. Kita makan bukan hanya untuk mengisi perut, tetapi juga untuk meraikan budaya serta identiti. Kali ini, cita rasa Malaysia bertemu dengan seni Jepun dalam satu eksperimen kulinari yang cukup berani menerusi Flavour Kahwin.
Idea Flavour Kahwin tercetus apabila Dato’ Fazley bertemu dengan Chef Hugo, chef residen Sushi Plus. Dari perbualan santai itu lahir persoalan tentang bagaimana jika sushi Jepun yang sudah mendunia digabungkan dengan jiwa Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian rasa. Sushi sememangnya sinonim dengan teknik serta disiplin kulinari Jepun, namun Fazley melihat peluang untuk memberikan wajah baharu sushi yang masih mengekalkan prinsip penyediaannya tetapi dipenuhi dengan keunikan tempatan.

Sebelum kolaborasi ini dimuktamadkan, Fazley terlebih dahulu melakukan kaji selidik di media sosial. Lebih 25 resipi diperkenalkan kepada para pengikutnya, namun hanya empat mendapat undian tertinggi. Empat inilah yang akhirnya diangkat sebagai wajah Flavour Kahwin iaitu:
- Nasi Lemak Sambal Idako – gabungan sambal ikonik Malaysia dengan tekstur chewy sotong Jepun.
- Beef Cili Api Sushi – pedas berasap ala Negeri Sembilan, tetap halus digulung dengan nasi sushi.
- Pulut Rendang Ayam Sushi – rendang klasik Melayu bersatu dengan pulut lembut.
- Nasi Kerabu Unagi Sushi – nasi biru bunga telang yang indah, disatukan dengan kelembutan belut Jepun.
Setiap menu ini dicipta sebagai “perkahwinan rasa” ada nostalgia kampung, ada sentuhan moden, dan ada keberanian untuk keluar daripada norma. Sambal pedas yang mengiringi nasi lemak, rendang ayam yang pekat berempah, nasi kerabu berwarna biru bunga telang, serta rasa pedas berasap cili api Negeri Sembilan, semuanya dipadankan dengan bahan asas sushi yang lembut, segar dan rapi.
Pelancaran menu ini pada 2 September 2025 sempena sambutan Hari Merdeka ke-68 menjadikan Sushi Plus Flavour Kahwin lebih daripada sekadar makanan bermusim. Ia hadir sebagai simbol penyatuan warisan, budaya dan inovasi di atas pinggan. Menurut Fazley, proses R&D memakan masa hampir enam bulan, dengan dua bulan terakhir menjadi tempoh paling kritikal.
Beliau dan Chef Hugo perlu mencari titik seimbang antara rasa Malaysia yang berani dengan prinsip sushi Jepun yang penuh disiplin. “Because the last two months tu saya nak kena make sure flavour yang saya nak buat tu sampai, tanpa hilangkan elemen sushi tu sendiri,” jelasnya. “Chef Hugo pun amat berpegang dengan prinsip dia sebagai juru masak Jepun. Jadi macam sebuah perkahwinan – ada kena bertolak ansur. Dia kena bertolak ansur dengan saya, saya pun bertolak ansur dengan dia. Akhirnya kami jumpa formula yang terbaik.”
Menu Flavour Kahwin ditawarkan hanya selama dua bulan, dari 2 September hingga 2 November 2025, di semua 15 cawangan Sushi Plus sekitar Lembah Klang dan Johor, termasuk Sri Petaling, The Starling Mall, Bangsar South Vertical, Plaza Shah Alam, TRX Exchange 106 yang bakal dibuka, serta cawangan Johor di Taman Pelangi, Eco Botanic dan KSL City Mall. Walaupun bermusim, Fazley tidak menolak kemungkinan beberapa menu akan kekal ditawarkan secara tetap sekiranya sambutan pelanggan amat menggalakkan.

Bagi Sushi Plus, Flavour Kahwin bukan sekadar untuk pencinta sushi semata-mata. Ia disasarkan kepada seisi keluarga, dari kanak-kanak hingga warga emas. Malah Fazley melihat minat besar daripada golongan muda, terutamanya Gen Z yang aktif di media sosial. Katanya, apabila anak muda menggemari sesuatu, ibu bapa turut serta, menjadikan hidangan ini sesuai dinikmati sekeluarga. Dari empat menu yang diperkenalkan, dua yang paling dekat di hati Fazley ialah Beef Cili Api Sushi yang pedasnya mengingatkan beliau kepada warisan Negeri Sembilan, dan Nasi Lemak Sushi sebagai simbolik hidangan paling ikonik Malaysia.
Menariknya, beberapa pelanggan Jepun yang mencuba menu ini turut memberikan maklum balas positif. Mereka menyifatkan Flavour Kahwin sebagai sesuatu yang “exciting” kerana menawarkan rasa yang berbeza daripada sushi biasa. Hal ini membuktikan bahawa makanan fusion Malaysia-Jepun bukan sekadar gimik, tetapi benar-benar membuka selera dan memperluas horizon kulinari. “Kalau Jepun ada sushi mereka, Malaysia juga boleh ada versi sendiri,” kata Fazley dengan penuh keyakinan.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2019, Sushi Plus membawa falsafah “Lifestyle. Convenient. Pick-up Culture” dengan misi menjadikan sushi sebahagian daripada gaya hidup harian rakyat Malaysia. Dengan harga yang berpatutan, inovasi berterusan dan kualiti terjamin, jenama ini berjaya menambat hati ramai. Kini, melalui Flavour Kahwin, Sushi Plus melangkah lebih jauh, mempersembahkan bukan sahaja inovasi tetapi juga identiti – satu bentuk perayaan rasa yang menyatukan warisan Malaysia dengan teknik Jepun.
Flavour Kahwin akhirnya membuktikan bahawa makanan mampu menjadi jambatan budaya. Ia bukan sekadar sushi, tetapi satu perayaan rasa, penuh warna, berani dan sarat dengan kebanggaan Malaysia.



