Beri, terima hadiah dianggap rasuah jika ada kaitan kepentingan tugas rasmi – SPRM

KUALA LUMPUR- Konsep pemberian atau penerimaan hadiah boleh diklasifikasikan sebagai satu kesalahan jenayah rasuah, apabila ia mempunyai hubungan dengan kepentingan dalam tugas rasmi.

Ketua Cawangan Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kelantan Wan Siti Junaida Ismail berkata, kepentingan pematuhan dalam tatacara kerja adalah bagi memastikan tadbir urus sesebuah jabatan teratur.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan tiada kelompangan yang membuka ruang serta peluang kepada berlakunya rasuah.

“Rasuah adalah perbuatan haram yang merosakkan diri, masyarakat serta negara. Semua pihak perlu menjauhi amalan ini dan kembali bertaubat sebelum terlambat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat integriti dan antirasuah bertemakan Tolak Rasuah, Perkasa Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, semalam lapor Harian Metro.

Seramai 300 Ahli Majlis PBT Kelantan menyertai Simposium Ahli Majlis PBT anjuran PBT dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan bagi memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan kesedaran usaha membanteras rasuah di peringkat pentadbiran tempatan.

Pada majlis itu, Ahli Majlis PBT Kelantan menyatakan komitmen untuk memperkemas tadbir urus dalaman, khususnya dalam menangani isu konflik kepentingan membabitkan urusan perolehan di pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan soalan lazim di laman web SPRM, Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah Dalam Perkhidmatan Awam menyatakan hadiah termasuklah wang, tambang percuma, saham, tiket loteri, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada diterima pegawai itu.

Penerimaan atau pemberian hadiah tidak kira kecil atau besar nilainya adalah menjadi satu kesalahan rasuah sekiranya pekerja yang mempunyai majikan menerima atau memberi hadiah bagi sesuatu perkhidmatan atau tugasan rasmi daripada pembekal.

Sekiranya hadiah seperti hamper atau jambangan bunga diletakkan di atas meja pegawai atau di rumah di mana pemberinya tidak diketahui, pegawai dinasihat melaporkan kepada ketua jabatannya untuk membuat keputusan.

Tindakan sedemikian bertujuan untuk menyelamatkan pegawai daripada ditohmah oleh pihak tertentu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat