Pelaburan RM150 juta wang Felcra diluluskan Menteri Kewangan II ketika itu – Bung Moktar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, pelaburan RM150 juta wang Felcra bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, diluluskan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selepas melalui proses yang betul.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu, skim pelaburan tersebut sebelum diluluskan, perlu melalui beberapa prosedur, usaha wajar, kajian dan pertimbangan maksimum Kementerian Kewangan.

Beliau yang merupakan saksi pembelaan pertama (DW1) berkata, beberapa faktor dipertimbangkan semasa menilai pelaburan.

“Ia termasuk sifat pelaburan dan risiko yang terlibat dalam skim sebelum Menteri Kewangan II meluluskannya berdasarkan analisis menyeluruh.

“Melalui keterangan Menteri Kewangan II (saksi pendakwaan ke-21), prosedur yang dituruti membuktikan keputusan beliau mengenai pelaburan Felcra adalah sah dan dibuat semata-mata berdasarkan merit dan prosedur yang betul,” ujarnya ketika ditanya peguam, Ridha Abdah Subri, lapor MalaysiaGazette pada Selasa.

Sehubungan itu, Bung Moktar menafikan beliau mendorong Menteri Kewangan II mendapatkan kelulusan supaya Felcra membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah.

Bung Moktar menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada hari pertama prosiding bela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah (BoD) Felcra tidak melanggar prosedur ketika membuat cadangan kepada Menteri Kewangan II untuk mendapat kelulusan pelaburan.

Peguam: Adakah kelulusan permohonan Felcra oleh Menteri Kewangan II bergantung sepenuhnya kepada cadangan BoD?

Bung Moktar: Tidak. Menteri Kewangan II bergantung kepada banyak faktor dan prosedur seperti dinyatakan diatas.

Peguam: Mengapakah kamu menandatangani permohonan pelaburan baharu kepada Menteri Kewangan II? Adakah ini prosedur standard bagi Pengerusi Felcra menandatangani permohonan?
Bung Moktar: Setiap organisasi mempunyai prosedur dan peraturan yang berbeza. Dalam Felcra, menandatangani permohonan oleh pengerusi adalah prosedur standard.

Peguam: Adakah keputusan untuk mengesyorkan permohonan itu satu keputusan unilateral (satu pihak) atau ia adalah keputusan kolektif oleh Lembaga?
Bung Moktar: Bukan unilateral tapi keputusan kolektif BoD.

Dalam keterangannya, Bung Moktar turut menafikan menerima wang RM2.8 juta dari dua ejen unit amanah pada 2015 sebagai dorongan secara rasuah untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam Public Mutual Berhad.

Pemimpin Umno Sabah itu berkata, kedua-dua ejen tersebut, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamidi ketika memberi keterangan di mahkamah juga tidak pernah menyatakan memberi wang kepada beliau.

Bung Moktar malah menafikan mendorong Menteri Kewangan II untuk mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad membuat pelaburan RM150,000 bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 66, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad. Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat