1,186 graduan dirai dalam Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor

Oleh Zihan Zari

BANGI – Seramai 1,186 graduan Kolej Komuniti telah diraikan di atas pencapaian cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2025 yang telah berlangsung penuh gilang-gemilang di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dekat sini baru-baru ini.

Sidang Pertama konvokesyen menyaksikan kehadiran seramai 609 orang graduan telas menerima pengiktirafan atas kejayaan mereka, yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail.

Turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Selayang merangkap Pengerusi Kolej Komuniti Zon Selangor, Hj. Ahmad Rizal Omar; Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam, Ahmad Arman Nor Anuar; dan Pengarah Kolej Komuniti Tanjung Karang, Mohamad Ramzan Mohd Toha.

Dr. Mohd Zahari berkata, Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) kini berdiri teguh sebagai peneraju utama bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kekuatan sebanyak 36 buah politeknik dan 106 buah kolej komuniti.

Beliau berkata, pada 2024 telah mencatatkan statistik kebolehpasaran graduan sebanyak 98.8 peratus (%) dan data ini adalah sangat membanggakan.

Katanya, sehingga kini hampir 20,000 buah industri telah berkolaborasi dengan PolyCC melibatkan pelbagai aktiviti kolaborasi berimpak tinggi antaranya pelaksanaan Work Based Learning, Latihan Industri Berstruktur serta Penajaan Pensijilan Profesional/ Kompetensi dan sebagainya.

Sidang Kedua pada sebelah petang menyaksikan kehadiran seramai 577 orang graduan telah menerima pengiktirafan atas kejayaan mereka yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhant Akitek Malaysia (PAM), Dato’ Ar. IDr. Zulkhairi Md Zain.

Ar. IDr. Zulkhairi berkata, pendidikan TVET pada masa kini perlu bergerak seiring dengan realiti industri yang semakin mencabar. Dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan menuju ke arah Revolusi Industri 5.0.

Katanya, pengetahuan semata-mata tidak lagi memadai. Sebaliknya, graduan perlu memiliki keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, menguasai kemahiran analitik, serta menghayati nilai profesionalisme yang tinggi.

Dalam pada itu, seramai 21 orang graduan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik dan sahsiah terbaik sepanjang pengajian mereka.

Antaranya, Amierah Ad-Darayaaani Abdul Rahman, graduan Sijil Rekabentuk Dalaman, Kolej Komuniti Shah Alam telah dinobatkan Anugerah Ketua Pengarah (AKP) dan Anugerah Pelajar Cemerlang dengan pencapaian HPNM 4.00.

Amierah aktif dalam kepimpinan mahasiswa sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) di kolej dan peringkat negeri serta telah mengharumkan nama PolyCC di peringkat kebangsaan menerusi Tilawah Al-Quran PolyCC 2023.

Beliau juga mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Awardee of Most Popular Design dan Best Retail Design dalam pertandingan YIIDEC 2024.

Anugerah Usahawan Kolej Komuniti (AUKK) dianugerahkan kepada Noor Azree Aiman Noor Azrin, graduan Diploma in Mobile Technology dari Kolej Komuniti Ampang.

Azree kini merupakan Ketua Eksekutif ASZR Legacy, berjaya membangunkan perniagaan dengan pendapatan lima angka pada usia muda, serta telah membuka dua cawangan perniagaan.

Justeru, sebagai tanda sokongan Azree kepada Pertubuhan Muafakat JPPKK, sumbangan sebanyak RM1,000 telah diserahkan kepada KPPK semasa sidang berlangsung dengan penyerahan simbolik cek replika.

Anugerah Kepimpinan Kolej Komuniti Negeri Selangor 2025 disampaikan kepada Haris Ikhwan Ahmed Farikh, graduan Sijil Rekabentuk Pembuatan Perabot dari Kolej Komuniti Kuala Langat.

Haris Ikhwan menyerlah dalam bidang kepimpinan dan pembangunan komuniti, antaranya sebagai wakil Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Sabah, Ejen Perpaduan Kementerian Perpaduan Negara, serta mengungguli johan dalam Kejohanan Petanque Triple Terbuka PETQUL Merdeka 2023.

Anugerah Usahawan Harapan Kolej Komuniti Negeri Selangor pula disandang oleh Nur Aleeya Natasha Nasarudin, graduan Sijil Pastri Kolej Komuniti Selayang.

Beliau turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai pengiktirafan atas potensi besarnya dalam bidang keusahawanan muda.

Majlis konvokesyen berprestij ini menjadi wadah meraikan pencapaian akademik, malah turut memperlihatkan komitmen kolej komuniti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing serta berjiwa keusahawanan, selari dengan aspirasi TVET negara.

Kolej Komuniti Negeri Selangor terdiri daripada rangkaian 10 kolej induk dan 1 Kolej Komuniti Cawangan Sepang di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kolej Komuniti turut berperanan menyediakan akses pendidikan dan latihan teknikal kepada masyarakat setempat, di samping menyokong pembangunan komuniti dan memperkasa ekonomi tempatan melalui pembelajaran sepanjang hayat (PSH). -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat