PUTRAJAYA, – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan beras putih dalam negara berada pada tahap mencukupi dan stabil dengan harga yang berpatutan, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan makanan ruji rakyat sentiasa mampu milik dan mudah diperoleh.
KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi Tahun 2025, yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sejak 1 Mac lalu, akan berakhir pada 31 Ogos 2025. Program selama enam bulan itu dilihat sebagai langkah transisi dalam pembekalan beras putih serta usaha kerajaan menyalurkan subsidi dengan lebih berkesan.
Sepanjang tempoh pelaksanaan, permintaan terhadap BPT mencecah kira-kira 18.2 juta kampit atau 75.8 peratus daripada sasaran asal sebanyak 24 juta kampit. Tinjauan mendapati rakyat lebih cenderung memilih beras pada harga berpatutan berbanding semata-mata beras bersubsidi.
Mengambil kira kesan program ini serta pelaksanaan harga lantai Beras Putih Import (BPI) RM2,600 per tan metrik di pintu gudang BERNAS sejak 15 Mei lalu, KPKM akan menjalankan penilaian terperinci untuk menentukan strategi terbaik dalam pembekalan beras putih negara, termasuk mekanisme menangani isu pencampuran beras.
KPKM turut menegaskan bahawa pemantauan bekalan beras akan diteruskan bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada bekalan yang mencukupi dengan harga berpatutan.



