“Kalau pakat jaga mulut, tak reka cerita sampai fitnah tak perlu pun ke mahkamah” – Sanusi

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap kemenangannya dalam kes saman fitnah terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Katanya, beliau bersyukur kepada Allah yang telah menyerlahkan kebenaran walaupun terpaksa berlanjutan sehingga ke peringkat mahkamah.

“Sebenarnya tak perlu pun ke mahkamah kalau masing-masing pakat-pakat jaga, bercakap atas landasan yang benar dan tidak mereka-reka cerita serta tidak bertujuan memberi reputasi yang buruk dengan cara yang salah kepada orang.

“Saya harap beri pengajaran juga kepada saya dan orang lain, yang buruk jadi sempadan yang baik jadi teladan. Jangan cakap benda yang tak betul, memburukkan orang dengan cerita yang direka-reka hingga termasuk dalam kategori fitnah,” katanya ketika ditemui pada Program Kebajikan dan Advokasi Perundangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lapor Utusan di Sik pada Selasa.

Sanusi berkata, kesan besar boleh terjadi apabila seorang pemimpin bertaraf menteri kanan yang menaungi pelbagai agensi penting memilih untuk bercakap dalam ceramah berbanding bertindak melalui agensi-agensi berkaitan.

“Dengan jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan, bila kita bercakap orang lebih mudah percaya berbanding dengan cakap JKK di kampung ini. Di Sik ini lah banyak kali diulang-ulang untuk memburukkan saya di kampung saya, tentu lah Allah marah sebab perkara itu tidak betul,” ujarnya.

Tambahnya, nilai kemenangan yang diberikan Mahkamah Tinggi Alor Setar iaitu sebanyak RM670,000 juga disifatkan antara yang tertinggi dalam rekod saman fitnah di negara ini.

Sebelum ini, Hakim Dr Mohamad Johan Lee memutuskan Saifuddin perlu membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 kepada Muhammad Sanusi berhubung saman fitnah isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), dua tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri itu turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM70,000 selain memohon maaf secara terbuka kepada dengan ia perlu diterbitkan di sebuah akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman serta beberapa tuntutan lain.

Bagaimanapun, Saifuddin telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengemukakan rayuan kerana berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu setelah meneliti keputusan tersebut.

Kes itu berkaitan ceramah dalam Program Jelajah Madani sempena PRN Kedah yang mengandungi fitnah terhadap Muhammad Sanusi mencuri REE dan didenda RM500,000 pada 15 Julai 2023, serta sidang akhbar bertarikh 14 Julai 2023 yang membuat tuduhan bahawa beliau telah menyalahgunakan dana Marris berjumlah RM1.6 bilion.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat