KUALA LUMPUR – Tidak mustahil MCA dan MIC akan membuat keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dalam waktu terdekat ini dan bergabung sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).
Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang kini beralih arah menyertai Bersatu tidak menolak kemungkinan bakal perubahan besar dalam PN bahkan blok pembangkang itu akan tampil dengan wajah segar lebih bersifat nasional dan bukan lagi gabungan parti berasaskan kaum.
Dalam audio siar Jam Kesebelas, Khir percaya MCA dan MIC akan tinggalkan BN.
“Sebab bagi saya kalau mereka dianggap tidak signifikan lagi dalam politik, kalau tidak signifikan kita kena keluar. Kalau tidak kita akan mati begitu sahaja dan perubahan-perubahan akan berlaku dalam masa terdekat ini saya rasa.
“(Bagi saya) sebaik-baiknya MCA dan MIC wajar tinggalkan BN.
“Saya juga ada hubungi kawan-kawan saya dari MCA, MIC… saya dengar cakap-cakap keputusan akan diambil dalam waktu terdekat ini. Lebih-lebih lagi serangan-serangan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kepada mereka baru-baru ini. Saya rasa ini kita panggil dah luka dicurah dengan garam,” kata Khir.
Mengulas lanjut, Khir berpandangan adalah sangat penting parti-parti bukan Melayu ini menyertai PN.
“Bagi saya penting sangat parti-parti bukan Melayu ini menyertai PN selain memberi gambaran bahawa kita juga bersikap nasional bukan racist based party.
“Saya ingat PN pun dah buat keputusan, Perdana Menteri akan datang pun mereka akan letak daripada Bersatu supaya nampak tidak berlaku kurang kepercayaan daripada orang bukan Melayu kepada mereka.
“Saya lihat ramai juga tokoh-tokoh Pas yang bersikap profesional hari ini yang tasawuf perjuangannya lebih luas tidak bersandarkan lagi kepada agama semata-mata.
“Ini perubahan PN kita yakin dengan perubahan yang dibuat dengan keluar manifesto yang lebih nasional merangkumi semua bangsa saya rasa kita akan dapat 10 peratus boleh tubuh kerajaan dengan majoriti mudah,” ujar beliau.
Perkembangan lain, Khir memberi jaminan akan membantu PN membentuk kerajaan negeri di Selangor pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Namun kata beliau, cabaran utama PN untuk rampas Selangor ialah meyakinkan pengundi bukan Melayu.
“Kalau kita dapat menarik dalam 5 hingga 9 peratus pengundi-pengundi bukan Melayu Insya-Allah, saya nampak pengundi-pengundi orang Melayu Alhamdulillah mereka akan bersama dengan PN.
“Cuma usaha-usaha kita perlu lakukan supaya 10 peratus sekurang-kurangnya pengundi bukan melayu mengundi PN.
“Dan kita hanya perlukan dalam 7-8 kerusi sahaja untuk menang Selangor dan saya nampak sebahagian besar kerusi-kerusi yang dimenangi PKR ini adalah kerusi yang majoritinya sangat rendah. Umpamanya Sungai Tawar kawasan saya, Umno menang hanya 700 undi saya rasa itu tumpuan kita akan datang, kita akan sumbangkanlah satu kerusi- Sungai Tawar dan tempat-tempat yang lain.
“Cuma kita harap pengundi bukan Melayu dah mula sedar sekarang ini masalah ekonomi yang sangat membimbangkan dengan RMK13 yang saya tengok tak ada signifikan untuk kita lihat ekonomi digerakkan dengan lebih baik,” kata Khir.



