Akmal Saleh jawab desakan putus hubungan politik: “Bring it on”
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh, memberi reaksi tegas terhadap gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang supaya kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengannya.
Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik di media sosial, Akmal berkata:
“Putus hubungan dengan saya = putus hubungan dengan Pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO. Ok 👌👌👌 Bring it on..”
Gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang itu dibuat susulan tindakan Akmal yang mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemiliknya menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
Pemilik kedai berkenaan, Pang Chin Tian, menjelaskan beliau ketika itu sedang mengukur panjang tiang besi dan tidak sedar bendera dipasang terbalik. Namun, selepas insiden tersebut tular, Pang disiasat dan ditahan pihak polis.
Isnin lalu, Akmal memberi amaran akan datang ke kedai itu untuk “mengajar” Pang cara memasang bendera dengan betul sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan pendakwaan dalam masa dua hari.
Pemuda DAP Pulau Pinang dalam kenyataannya menyifatkan tindakan Akmal sebagai pencabulan serius terhadap kedaulatan undang-undang dan menjejaskan keharmonian negara.
Menurut mereka, tindakan sebegitu bukan sahaja bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang meraikan kepelbagaian, tetapi turut merancakkan sentimen perkauman.
“Gelagat Akmal Saleh yang semakin melampau kini menjadi ancaman nyata kepada keharmonian nasional. Tingkah laku sebegini adalah barah dalam politik negara,” kata mereka.



