Nik Nazmi selar bayaran rendah kepada guru Pasti

KUALA LUMPUR – Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) menyifatkan adalah ‘tidak adil’ kepada lebih 9,500 guru di pra-sekolah kendalian Pas hanya menerima elaun antara RM600 hingga RM700, jauh di bawah kadar gaji minimum.

Nik Nazmi berkata alasan guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) adalah sukarelawan dan bukannya pekerja adalah tidak boleh diterima.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata, perkara berkenaan jelas bercanggah dengan peraturan gaji minimum RM1,700 dan mengelak kewajipan lain seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ini jelas menyalahi undang-undang. Jika setiap majikan melabel pekerja mereka sebagai sukarelawan, tiada siapa akan membayar gaji minimum,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Nik Nazmi, ramai guru yang menerima bayaran itu tinggal di kawasan yang kos sara hidupnya tinggi seperti Lembah Klang.

Untuk rekod, Pasti adalah pra-sekolah Islam yang ditubuhkan Pemuda Pas, pada akhir 1980-an untuk menyediakan alternatif pendidikan awal kanak-kanak berteraskan agama.

Menurut Nik Nazmi, ada 2,497 Pasti di seluruh negara dengan 9,539 guru dan 125,065 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun setakat 2024.

Syahir Sulaiman (PN-Bachok) mempertahankan pra-sekolah itu dengan mengatakan guru hanya bekerja beberapa jam sehari selain Pasti tidak bergantung pada dana kerajaan, berbeza dengan premis dikendalikan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata Pasti beroperasi hasil sumbangan awam dan sokongan bahagian PAS bagi mengelak membebankan kerajaan.

Namun, Nik Nazmi tetap menegaskan guru-guru itu adalah pekerja.

“Dari segi undang-undang, mereka adalah pekerja. Sama ada sepenuh masa atau sambilan, mereka mesti dilayan sebagai pekerja. Jika Pasti berdaftar dan memenuhi syarat, mereka mesti patuh undang-undang.

“Membayar RM600 atau RM700 tidak mengurangkan masalah kepada kerajaan, malah memburukkan lagi keadaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat