Topcon lancar pusat latihan teknologi pertama di Asia tenggara, letakkan Malaysia di hadapan pembinaan pintar serantau

Malaysia sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai destinasi utama pembangunan teknologi apabila Topcon Corporation, peneraju global dalam penyelesaian kedudukan dan teknologi pembinaan digital, secara rasmi melancarkan Topcon Malaysia Training Centre (TMTC) pusat latihan pertama syarikat itu di Asia Tenggara dan keempat di peringkat global selepas Amerika Syarikat, Itali dan Jepun.

Bertempat di Shah Alam, Selangor, TMTC direka khusus untuk memenuhi keperluan latihan praktikal bagi jurutera, juruukur, pengendali jentera, penyelia tapak, kakitangan teknikal sektor awam serta pelajar institusi vokasional dan teknikal. Majlis perasmian pusat ini telah disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, YB Tuan Ng Sze Han, disaksikan oleh delegasi khas dari Jepun, wakil-wakil industri, institusi pendidikan dan agensi kerajaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Topcon Corporation, Encik Takashi Eto, dalam ucapannya menyatakan bahawa penubuhan pusat latihan ini adalah satu langkah penting dalam misi global syarikat untuk menyokong pembangunan modal insan dan memperkukuh jaringan kerjasama tempatan.

“Pusat latihan ini bukan hanya bertujuan memperluaskan operasi perniagaan kami di Asia Tenggara, tetapi lebih penting ialah menyumbang secara langsung kepada pembangunan tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi canggih,” katanya.

Encik Takashi menegaskan bahawa TMTC akan menjadi platform pembelajaran yang membolehkan peserta bukan sahaja memahami peralatan dan sistem Topcon, malah menggunakannya dengan cekap dalam konteks sebenar kerja di lapangan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam industri pembinaan.

Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembangunan pusat latihan ini juga bukan suatu kebetulan. Menurut Encik Takashi:

“Malaysia adalah sebuah negara membangun yang pesat dan cepat. Kami melihat potensi besar di sini dan mahu berkongsi pengalaman serta teknologi kami bersama Malaysia.”

Untuk permulaan, seramai 30 pelatih akan mengikuti setiap sesi latihan, dan operasi TMTC dijadualkan bermula secara rasmi pada Oktober 2025. Latihan yang ditawarkan menekankan pendekatan hands-on dalam penggunaan teknologi seperti sistem GNSS, total station, kawalan jentera, pemodelan 3D tapak serta pengurusan data digital  kesemuanya direka untuk menyokong amalan kerja pembinaan moden.

Menariknya, Topcon kini mempunyai dua pusat latihan berasingan di Malaysia. Selain TMTC di Shah Alam yang memberi fokus kepada latihan praktikal di lapangan, sebuah lagi pusat latihan terletak di Glenmarie, Selangor, yang lebih menumpukan kepada aspek teori dan pembelajaran berasaskan bilik darjah. Gabungan kedua-dua pusat ini membentuk ekosistem latihan menyeluruh bagi peserta, dari teori hingga ke pelaksanaan praktikal.

Pada masa ini, latihan yang ditawarkan di TMTC memberi tumpuan khusus kepada sektor pembinaan. Namun, Topcon merancang untuk memperluaskan skop latihan kepada sektor pertanian pintar pada masa akan datang. Inisiatif ini bertujuan membantu memodenkan sektor pertanian negara dengan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman, menjamin keselamatan makanan, serta mewujudkan sistem pertanian yang mampan dan berdaya saing di peringkat serantau.

Pelancaran TMTC juga bertepatan dengan hala tuju negara melalui Pelan Strategik Pembinaan 4.0 Malaysia, yang menekankan penggunaan teknologi, automasi dan inovasi dalam pembangunan infrastruktur negara. Penubuhan pusat ini menyokong usaha kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, selaras dengan matlamat pembangunan mampan dan pendigitalan industri.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki, yang menyambut baik inisiatif ini sebagai simbol hubungan erat antara kedua-dua negara dalam memacu teknologi serta inovasi serantau.

Dengan pelancaran rasmi TMTC, Malaysia kini bukan sahaja menjadi pusat tumpuan pelaburan teknologi, malah turut menjadi platform utama dalam membina generasi profesional baharu yang mampu menguasai kemahiran teknikal sejajar dengan keperluan industri masa depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat