CYBERJAYA – Perdagangan Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025 mencatat prestasi memberangsangkan, mencecah nilai RM1.465 trilion, dengan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Selangor mencatat pertumbuhan perdagangan sebanyak 10.2% bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai nadi utama ekonomi negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa prestasi pelaburan di Selangor terus menunjukkan trend positif. Antara 2019 hingga Mac 2025, sebanyak 1,785 projek bernilai RM96.98 bilion telah diluluskan di negeri itu, yang dijangka mewujudkan lebih 108,000 peluang pekerjaan baharu.
Perdagangan Malaysia bagi separuh pertama 2025 sangat menggalakkan, sebanyak RM1.465 trilion. Selangor terus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah perdagangan negara, dengan pertumbuhan 10.2% pada tempoh Januari hingga Jun 2025.
Selain itu, prestasi pelaburan di Selangor… pic.twitter.com/sH3j3vo1YX
— Tengku Zafrul 🇲🇾 (@tzafrul_aziz) August 4, 2025
“Saya memberi komitmen kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, bahawa MITI akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi membina ekonomi yang mampan dan berdaya saing,” kata Tengku Zafrul selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor.
Tambah beliau, fokus utama MITI adalah memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini menerusi sinergi erat antara kerajaan pusat dan negeri.



