CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan kecaman keras terhadap Israel berhubung situasi kemanusiaan di Gaza, mendakwa rejim Zionis kini menggunakan kebuluran sebagai senjata untuk membunuh rakyat Palestin, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
Dalam kenyataan bertajuk “𝗦𝗧𝗢𝗣 𝗧𝗛𝗘 𝗠𝗢𝗡𝗦𝗧𝗘𝗥” yang dimuat naik di platform X (Twitter), Dr Mahathir juga mendakwa Amerika Syarikat menyokong secara langsung strategi tersebut dan menjadi penghalang utama kepada usaha antarabangsa untuk menamatkan kekejaman itu.
“Israel kini membiarkan rakyat Palestin di Gaza kebuluran sehingga mati. Kebanyakan yang mati atau sedang nazak adalah kanak-kanak dan wanita. Yang tinggal hanya kulit dan tulang. Malah tulang mereka rapuh dan tidak mampu menyokong tubuh,” katanya.
Menurut beliau, dunia menyaksikan krisis ini namun tidak bertindak kerana takut terhadap reaksi Amerika. Beliau menegaskan bahawa Washington bukan sahaja tidak membantu menghentikan krisis, malah dianggap menyokong pendekatan Israel.
“Amerika kelihatan bersedia menghukum mana-mana negara yang cuba membantu rakyat Palestin. Mereka menyokong strategi Israel yang menggunakan kelaparan untuk membunuh.”
𝗦𝗧𝗢𝗣 𝗧𝗛𝗘 𝗠𝗢𝗡𝗦𝗧𝗘𝗥
1. Israel is now starving the Palestinians in Gaza to kill them. Most of those who have died or are dying are children and women.
2. Their sufferings are pitiful. There is only skin and bones. The fat and muscles are gone. Even the bones are thin… pic.twitter.com/oxMtB4Co1a
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) August 4, 2025
Tun Mahathir turut mempersoalkan sikap hipokrasi Amerika Syarikat yang lantang memperjuangkan hak asasi manusia di peringkat global, namun menurutnya, menutup mata terhadap pembunuhan beramai-ramai melalui pengeboman dan kebuluran.
“Jenis manusia apakah orang Amerika ini? Mereka sokong genosid melalui bom dan roket. Dan kini, genosid melalui kebuluran pula. Mereka adalah hipokrit. Mereka tiada rasa belas kasihan.”
Kenyataan beliau turut menggesa masyarakat dunia untuk bangkit menentang kepungan kejam ke atas Gaza, walaupun terpaksa menggunakan kekerasan, dan menyeru pembentukan satu pasukan pengaman antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin.
“Kita perlukan satu Pasukan Pengaman Antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza daripada tindakan tidak berperikemanusiaan Israel dan Amerika. Raksasa ini mesti dihentikan.”
Kenyataan lantang Tun Mahathir ini hadir di tengah-tengah laporan berterusan tentang krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, termasuk kekurangan makanan, ubat-ubatan dan akses kemanusiaan sejak konflik memuncak akhir tahun lalu.



