TAWAU, – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan bahawa beliau tidak menyokong penubuhan atau kerjasama blok Borneo, sambil menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai satu pembohongan.
Bercakap dalam Majlis Jelajah Rakyat PN di Tawau baru-baru ini, bekas Perdana Menteri itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau pernah menolak aspirasi blok Borneo sebagaimana dibangkitkan oleh Hajiji dalam Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2025 pada 27 Julai lalu.
“Ada baru-baru ini satu kenyataan dikeluarkan. Kenapa dia (Hajiji) khianati kita, kononnya dia kata bahawa saya tidak sokong blok Borneo?
“Sejak bila saya kata saya tak sokong blok Borneo? Saya pun tak tahu siapa blok itu, kerana sejak awal-awal lagi saya sudah berada di Sabah ini,” katanya di hadapan ribuan penyokong PN.
Muhyiddin turut menegaskan bahawa kehadirannya yang konsisten di Sabah sejak era awal kemasukan UMNO ke negeri itu membuktikan komitmen beliau terhadap kemajuan dan pembangunan Sabah.
“Saya masih berada di Sabah kerana saya yakin bahawa negeri ini ada keistimewaan, ada kekayaan muka bumi yang boleh dimanfaatkan untuk kemajuan rakyatnya.
Sejak bila saya katakan saya tak sokong Sabah ataupun tak sokong blok Borneo? Bohong.”
Sebelum ini, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendedahkan bahawa beliau hilang keyakinan terhadap seorang pemimpin besar kerajaan terdahulu yang didakwanya tidak menyukai konsep blok Borneo dan menyifatkan dirinya sebagai “master”.
Menurut Hajiji, kenyataan tersebut menjadi detik penting yang menyebabkan beliau membawa GRS menyokong kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dengan negeri jiran seperti Sarawak. Saya amat terkejut dengan kata-katanya. Fikir punya fikir, terus tawar hati saya kepada mereka,” ujar Hajiji dalam ucapan penggulungan persidangan Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC).
Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan kenyataan itu sebagai usaha memesongkan fakta dan menyeru rakyat Sabah agar bangkit membina kekuatan baharu demi mengembalikan maruah negeri yang ‘terkorban’ akibat pengkhianatan politik.
“Sudah tiba masa rakyat Sabah sedar dan bangkit untuk bina semula kekuatan sendiri,” katanya.



