CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijadual mengadakan lawatan negara ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini, atas jemputan rasmi Presiden Rusia, Vladimir Putin, sekaligus menjadi ketua negara Malaysia pertama mengadakan lawatan sedemikian ke negara tersebut sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967.
Memetik laporan Bernama, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan bersejarah ini mencerminkan peranan aktif Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu penting dalam usaha diplomasi dan hubungan luar negara.
Menurut kenyataan itu, kunjungan Seri Paduka Baginda dijangka memperkukuh hubungan dua hala sedia ada serta membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang strategik, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi, serta hubungan sesama rakyat.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama dengan Rusia, yang merupakan rakan dialog ASEAN sejak 1996.
Sewaktu di Moscow, Sultan Ibrahim dijadual menerima sambutan rasmi di Kremlin dan menghadiri pertemuan dua hala bersama Presiden Putin. Baginda turut berkenan menghadiri majlis santapan negara yang akan dihoskan oleh Presiden Rusia itu.
Seri Paduka Baginda turut dijadual melawat dua pusat teknologi utama – iaitu Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) dan Hab Teknologi & Inovasi Tochka Kipeniya, yang menjadi simbol kemajuan saintifik dan inovatif Rusia.
Lawatan seterusnya akan membawa Baginda ke Kazan, Republik Tatarstan, pada 8 Ogos – sebuah wilayah autonomi dalam Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduknya beragama Islam. Di sana, Sultan Ibrahim dijadual menerima menghadap Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, dan mengadakan lawatan ke fasiliti pembuatan serta pemasangan helikopter di wilayah tersebut.
Lawatan ini dilihat sebagai pencapaian penting dalam memperkasa hubungan diplomatik Malaysia–Rusia, serta peluang memperluas jaringan strategik Malaysia di rantau Eropah-Eurasia.



