KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengakui bahawa Kerajaan Madani diterajuinya tidak sempurna, namun beliau dengan rendah hati juga tidak sombong untuk membetulkan kesalahan.
Anwar bahkan menawarkan pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen sekiranya yakin cukup jumlah.
“Saya tidak pernah mendakwa kerajaan ini sempurna. Tapi kita tidak sombong untuk membetulkan kelemahan. Apa yang kurang, akan kita baiki. Apa yang belum selesai, akan kita usahakan. Namun reformasi itu mesti dilaksanakan secara berfasa agar dapat diterima, difahami dan berkekalan.
“Ketua Pembangkang pula dikatakan mahu membawa usul undi tidak percaya. Silakan. Ini negara demokrasi. Usul itu satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen,” saran Anwar terbuka.
Beliau berkata demikian ketika pertemuan bersama PKR Wilayah Persekutuan pada Ahad, di mana Presiden PKR itu mengingatkan anggota-anggota agar terus berpegang pada seruan islah mastata’tum yakni berusaha melakukan perubahan sedaya upaya.
“Kita tidak mampu menyempurnakan segalanya dalam sekelip mata, tetapi reformasi ini tetap kita bawa ke hadapan, setahap demi setahap.
“Dalam menyusun langkah, teguran dan peringatan dalam perjuangan harus diraikan. Saya ucap terima kasih kepada semua yang berhimpun semalam kerana ia berlangsung secara aman. Saya sentiasa bersedia mendengar apa jua teguran dan kritikan, namun sedikit kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan. Yang kedengaran cuma satu: “Turunkan Anwar.”
“Wilayah Persekutuan sejak awal menjadi antara benteng perjuangan PKR. Tapi kekuatan ini hanya bermakna jika terus berpaksikan nilai dan gerak kerja akar umbi. Cabang-cabang mesti terus hidup dengan program yang benar-benar menyantuni rakyat tanpa mengira kaum, umur atau latar,” seru Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.
Anwar turut memberitahu, kerajaan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 untuk rakyat Malaysia dengan menarik subsidi daripada warga asing – ini langkah berani dan rasional demi memastikan wang negara dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak dan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, tanpa meruntuhkan asas ekonomi negara.
“Akhirnya, PKR mesti kekal sebagai parti masa depan, parti yang terbuka menerima teguran, matang dalam bertindak dan bersatu dalam tujuan. Kita bukan sempurna.
“Tapi kita jujur, dan selagi ada kejujuran serta semangat untuk membaiki, kita akan terus mara melangkaui mereka yang hanya tahu menjerit tanpa arah dan tawaran,” bidas Perdana Menteri.



