KOTA KINABALU, – Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengadakan pakatan strategik dengan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang wajar dihormati.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan tindakan GRS menolak pendekatan solo dan sebaliknya memilih untuk bersama parti-parti nasional menunjukkan keutamaan yang diberikan kepada kestabilan politik dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
“GRS akhirnya menolak jalan solo dan memilih bersama parti-parti nasional. Sudah tentu mereka ada asas tersendiri, dan rakyat akan menilai,” tulis Salleh dalam akaun media sosialnya pagi ini.
Salleh juga menyifatkan pilihan GRS itu berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lebih cenderung menjauhkan diri daripada pengaruh parti nasional.
“GRS menolak formula Sarawak yang menjauhkan diri daripada parti nasional. Sebaliknya, mereka memilih untuk bekerjasama. Kita di BN pula konsisten dari awal bahawa gabungan dengan PH adalah pendekatan terbaik demi kestabilan,” katanya lagi.
Tambah beliau, pendirian GRS untuk bersama PH mungkin didorong oleh keperluan praktikal untuk memastikan hubungan yang lancar dengan Perdana Menteri dan kerajaan pusat, sekali gus menjamin kesinambungan pembangunan di Sabah.
“Kita bersangka baik mungkin kerana mahu bekerjasama dengan parti Perdana Menteri, iaitu PH, dan memastikan hubungan yang baik dengan kerajaan pusat. Ini selari dengan keperluan untuk menjamin kestabilan politik dan pembangunan untuk Sabah,” ujarnya.
Salleh menegaskan bahawa BN telah lebih awal membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH di peringkat pusat, dan langkah yang sama di peringkat negeri adalah kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab.
“Bagi BN, kita awal-awal lagi telah membuat pilihan untuk bersama PH atas dasar bahawa kita adalah asas Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat. Maka kerjasama ini adalah kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab,” jelas beliau.
Mengulas mengenai kerjasama tiga pihak antara PH, BN dan GRS, Salleh menyerahkan urusan perundingan dan pengagihan kepada PH, namun menekankan bahawa BN tetap komited dan ikhlas dalam gabungan ini.
“Bagaimana PH mengurus kerjasama dengan BN dan GRS, itu bukan urusan kita. Apa yang penting bagi BN ialah keikhlasan dalam kerjasama, dan fokus kita ialah memperkukuh kekuatan parti di lapangan,” katanya.
Salleh mengakhiri kenyataan dengan menegaskan bahawa BN tidak bermain dua muka, sebaliknya mengamalkan pendekatan politik yang jujur, terbuka dan mengutamakan kebajikan rakyat.
“Kita mahu menang dan bantu rakan-rakan dalam gabungan. Kita tidak bermain dua muka. Pendekatan kita jelas jujur, terbuka, dan demi kebaikan rakyat Sabah.”



