Harga minyak dunia turun, tak pelik PM umum petrol RM1.99 seliter – Hamzah

KUALA LUMPUR – Penurunan harga petrol adalah selaras dengan tindakan beberapa negara ASEAN lain termasuk Thailand yang sudah membuat keputusan sama beberapa minggu lalu.

Justeru, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak pelik dengan pengumuman kerajaaan menurunkan harga minyak semalam.

“Saya hendak maklumkan di Thailand, sudah turun minggu lepas atau beberapa minggu lepas.

“Banyak negara ASEAN sudah turun harga sebab harga minyak dunia sudah turun,” katanya pada sidang media, di Parlimen, pada hari Khamis.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September 2025 yang bakal beri manfaat kepada 18 juta rakyat termasuk belia dan pekerja gig.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mengambil masa untuk menurunkan harga minyak RON95.

Turut diumumkan ialah 15 September depan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu, mendesak proses pelantikan Ketua Audit Negara (KAN), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi diperbetulkan.

Beliau berkata, ini kerana pelantikan itu didakwa melanggar undang-undang, tidak bersifat bebas kerana KAN berkenaan masih bergelar penjawat awam ketika lantikannya dibuat.

“Ia menyebabkan dia tidak bebas kerana dia ada bos menyebabkan apa yang dibentangkan boleh dikompromi…itu kita kata susah.

“Tindakan sudah bermula, kita sudahpun utarakan perkara itu…kalau masih berlaku, maksudnya ada campur tangan,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, menjelaskan pelantikan KAN boleh dilakukan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Beliau dilaporkan berkata, ia adalah berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 (Akta 62) yang menyatakan KAN boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Atas dasar itu katanya, penyandang jawatan itu sekarang, Wan Suraya adalah sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Akta 62.

Tedahulu, melalui sesi perbahasan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempertikaikan pelantikan Wan Suraya sebagai KAN ketika beliau masih dalam perkhidmatan awam.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat